hidup kembali normal

Fasa endemik bermula, hidup kembali normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehidupan 32.2 juta penduduk negara ini kembali normal menerusi peralihan ke fasa endemik mulai hari ini selepas dua tahun berperang dengan Covid-19, sekali gus menjadi strategi keluar sebelum beralih ke endemik yang hanya boleh diumumkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Pembukaan sempadan adalah antara usaha utama kerajaan dan langkah itu merancakkan semula ekonomi negara khususnya industri pelancongan.

Sempadan darat Malaysia dan Singapura dibuka de­ngan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan seperti tidak perlu menjalani kuarantin dan melaksanakan ujian saringan Covid-19 bagi mereka lengkap divaksin.

Bagi pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, kerajaan tidak perlu mengambil langkah ke belakang seperti menutup semula sempadan negara atau kembali me­laksanakan sekatan pergerakan jika kes Covid-19 melonjak ketika fasa peralihan ke endemik.

Beliau mengakui negara masih berdepan Covid-19 yang ber­mutasi dalam beberapa bu­lan akan datang tetapi tidak seteruk seperti ketika pendemik itu mula-mula menyerang dunia dua tahun lalu.

“Seandainya kes melonjak naik, majoritinya kemungkinan besar bergejala ringan dan tidak tergolong dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Kalau berlaku lonjakan kes sekali pun, lebih 80 peratus populasi negara sudah divaksin. Jadi kita berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan, tidak akan ada lagi ancaman besar terhadap sistem kesihatan negara,” katanya.

Bermula hari ini juga me­nyaksikan beberapa perubahan baharu antaranya had waktu beroperasi bagi premis per­niagaan dimansuhkan bermak­na pemilik boleh berurus niaga me­ngikut syarat lesen.

Bagi solat jemaah masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat pula, orang ramai dibenarkan melakukan aktiviti itu tanpa penjarakan fizikal sekali gus menjadi khabar gembira khususnya umat Islam.

Dalam pada itu, had ka­pa­siti 50 peratus aktiviti me­libatkan perkumpulan ra­mai dimansuhkan secara menye­lu­ruh manakala pemansuhan sa­ma membabitkan jumlah ka­pasiti pekerja ke pejabat yang se­belum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dan semua in­dividu dibenarkan merentas ne­geri tanpa mengira status vak­sinasi.

Namun, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan dan pendaftaran ke­masukan menggunakan My­Sejahtera masih diwajibkan ke­cuali untuk kawasan ter­bu­ka, tidak sesak dan tiada per­himpunan orang ramai serta MYSJTrace diwajibkan di tempat tertutup dipenuhi orang ramai.

Sementara itu, 2.7 juta pen­duduk dewasa Malaysia me­libatkan warga emas penerima se­mua jenis vaksin dan pe­ne­rima vaksin Sinovac yang be­lum menerima dos penggalak bertukar status vaksinasi kepada tidak lengkap.

Pakar Kesihatan Komuniti Fa­kulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan ber­kata, peralihan fasa endemik tidak bermakna perang rakyat Malaysia melawan Covid-19 sudah berakhir.

Sebaliknya langkah itu di­si­fatkan sebagai ‘gencatan senjata’ se­mentara kembali kepada kehidupan normal.

Jelasnya, virus Covid-19 ma­sih wujud dalam kehidupan rak­yat, tetapi kesan dan impaknya berkurangan setelah hampir majoriti penduduk menerima suntikan vaksin.

“Kita boleh anggap Covid-19 seperti penyakit demam denggi, ma­sih dianggap berbahaya tetapi rakyat tidak perlu panik. Begitu dengan virus ini, sebab kita sudah ada imunisasi vaksin apatah ramai penduduk memperolehi antibodi setelah banyak sudah dijangkiti virus berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×