LABEL ‘kluster mahkamah’ begitu konsisten dijadikan bahan kempen parti tertentu di Johor waktu ini.
Kalau uar-uarkan kempen sedemikian, tentu sekali sepatutnya tidak merujuk kepada UMNO semata-mata. Yang berhadapan kes mahkamah juga ialah pemimpin Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) dan DAP.
Malah peguam Datuk Adnan Seman turut berkongsi dengan akhbar ini semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH), sudah jadi rahsia umum banyak kes mahkamah digugurkan melibatkan pemimpin dari gabungan politik itu.
“Contohnya, 15 kes digugurkan Peguam Negara waktu itu, Tommy Thomas. Kalau tak gugur, mereka boleh dianggap ‘kluster mahkamah’. Jadi, tak betul kalau terpakai label ini kepada UMNO sahaja,” katanya.
Peliknya, calon-calon BN yang bertanding di Johor tidak pula membabitkan kluster mahkamah. Tetapi mengapa istilah ini dilagukan dalam kempen. Menteri besarnya bukan kluster mahkamah.
Dan 55 calon lainnya juga tak terbabit. Bukankah tak logik dan munasabah untuk bicarakan kluster mahkamah’?
Pengundi diyakini maklum yang hendak dipilih nanti adalah wakil rakyat yang akan bentuk kerajaan negeri. Tidak ada kaitan dengan pemimpin kerajaan pusat.
Bahkan ramai calon muka baharu, sekali gus trend ini akan dibawa ke Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Muka-muka baharu akan diketengahkan dan tidak mustahil mereka dari ‘kluster mahkamah’ akan fikirkan hala tuju masing-masing.
Adakah usaha menguar-uarkan label ‘kluster mahkamah’ sekadar lebih kepada mahu tutup kelemahan parti sendiri disebabkan cuak dengan ketrampilan calon-calon parti pesaing.
Tidak perlu labelkan atau gelarkan itu, ini. Parti-parti yang bertanding sepatutnya fokus dengan apa yang mahu dibuat sekiranya mereka terpilih. Rakyat patut fokus kepada apa yang ditawarkan dalam manifesto yang khabarnya akan dibentangkan parti masing-masing.
Label ‘kluster mahkamah’ percubaan untuk alihkan isu sebenar iaitu memilih calon-calon kerajaan baharu untuk lima tahun akan datang.
Istilah bahan kempen ini tidak ada kaitan dengan undang-undang sama ada orang itu sudah didapati bersalah atau digantung hukuman – itu kedudukan frasa.
Dari sudut pilihan raya, itu hak mereka nak panggil apa sahaja, sama ada `kluster mahkamah’ atau ‘pesalah mahkamah’.
Biar orang politik nak panggil apa pun. Tetapi jangan menipu fakta mahkamah. Kalau salah tetap salah. Kalau tak salah, maka tak salah. – UTUSAN










