Marsyal bukan polis trafik - Utusan Malaysia

Marsyal bukan polis trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KELIBAT penunggang motosikal dengan perkataan marsyal ditampal dibelakang jaket sambil mengawal lalu lintas dan mengarahkan pemandu lain memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada konvoi motosikal adalah keadaan yang biasa kita lihat.

Namun, apabila banyak pihak mengecam tindakan marsyal berbuat demikian dalam dua rakaman video yang tular baru-baru ini mencetuskan tanda tanya. Salahkah perbuatan sedemikian?

Bagi mengupas isu ini, saya mendapatkan penjelasan daripada ANUAR SABARUDDIN yang sudah berkecimpung dalam bidang permotoran media sejak 24 tahun lalu.

Anuar, 51, yang lebih mesra disapa Norick mempunyai pengalaman sebagai marsyal dan pernah menyertai beberapa siri pengembaraan bermotosikal di luar negara.

Beliau kini merupakan pemilik plat­form digital motosikal, Fastlenz TV.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurufoto, MUHAMMAD SYAWAL ROSLI bersama Anuar di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

UTUSAN: Apa tugas sebenar marsyal?
ANUAR: Tugas utama marsyal bukannya mengawal lalu lintas tapi menjaga kelancaran dan keselamatan konvoi. Ada pembahagian tugas-tugas seperti ketua marsyal dan sweeper. Sweeper kena pastikan tiada peserta tertinggal. Kalau ada motosikal rosak, marsyal kena tunggu dan selesaikan masalah.
Marsyal kena pastikan setiap peserta konvoi mematuhi undang-undang jalan raya. Kalau had laju di lebuh raya 110 kilometer sejam (km/j), tidak boleh tunggang lebih laju daripada itu.

Marsyal kena pastikan peserta konvoi tidak menunggang berkumpulan secara berbahaya. Kalau masuk bandar, konvoi perlu berada dalam satu barisan. Kalau di lebuh raya, boleh ikut formasi zig-zag. Kalau ikutkan, nisbah seorang marsyal pantau lima peserta (penunggang).

Apabila kesemua ini dipatuhi, secara langsung dapat memastikan keselamatan peserta konvoi.

Marsyal ada kuasa kawal lalu lintas?
Tugas marsyal tidak sentuh langsung pasal lalu lintas, itu bidang kuasa polis. Selalunya kalau polis trafik ikut konvoi tiada tercetus masalah berkaitan lalu lintas, undang-undang di tangan mereka.

Ceritakan pengalaman anda sebagai marsyal?
Saya pernah terlibat sebagai marsyal pada awal-awal penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi. Saya mengikuti latihan sebagai marsyal selama beberapa hari di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan diberikan sijil untuk khidmat marsyal dalam perlumbaan tersebut.

Sebelum konvoi, ada taklimat untuk marsyal juga untuk para peserta. Diberitahu syarat dan peraturan terutama formasi konvoi semasa di lebuh raya, jalan persekutuan dan memasuki bandar.

Dahulu, marsyal dibahagikan ikut kapasiti enjin motosikal. Superbike jalan dulu, kemudian baru kapcai. Apa pun, semua peserta mesti berada dalam grup masing-masing.

Bagi perjalanan sejauh 300 kilometer, kena ada tiga perhentian termasuk makan, isi minyak. Untuk kesegaran badan kerana secara kasar sebagai manusia, kita mampu memandu atau menunggang secara terus dalam tiga jam sahaja. Selepas tempoh itu prestasi badan kita secara automatik mula menurun seperti mengantuk, hilang fokus dan sebagainya

Pengalaman anda berkonvoi di luar negara?
Saya pernah ikuti pengembaraan bermotosikal di Eropah, Afrika Utara dan New Zealand.

Sama juga peranan marsyal di sana, mereka tidak sentuh hal-hal berkaitan kawalan trafik. Kalau tiba di simpang jalan, konvoi akan berhenti sehinggalah selesai kenderaan lain melintas, jalan kosong barulah bergerak. Marsyal tidak akan menahan kenderaan lain untuk memberi laluan kepada konvoi.

Bagaimana mahu menjadi marsyal bertauliah?
Dulu-dulu kalau nak jadi marsyal, ada ujian terutama berkaitan jalan raya, kena tahu tanda-tanda jalan, nak masuk bandar macam mana.

Berapa jumlah persatuan atau kelab marsyal berdaftar di negara ini?
Terus-terang, saya sendiri pun tidak pasti. Begitu juga jawapannya apabila saya bertanyakan rakan-rakan yang pernah menjadi marsyal. Apa yang saya tahu, marsyal perlumbaan motosikal adalah berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Yang paling popular ialah Marshall Motorsports Club yang berdaftar dengan KBS. Mana-mana pihak yang memerlukan khidmat marsyal biasanya berhubung dengan kelab ini.

Cabaran sebagai seorang marsyal?
Penat, terutama fizikal sebab kejap ke depan, kejap ke belakang. Kena tunggang laju untuk pantau dan kawal pergerakan konvoi.

Apabila bercakap pasal konvoi, saya sendiri sebenarnya kurang suka sebab terpaksa berdepan dengan perangai manusia terutama penunggang yang degil. Tak kiralah motosikal besar atau kecil. Yang berumur sikit tak suka ditegur sebab rasa diri mereka otai, Yang muda pula rasa dirinya hebat, nak menunjuk-nunjuk. Kena pandai nak tackle (atasi) orang macam ini. Itulah sebabnya taklimat awal itu penting.

Apa tindakan marsyal apabila berdepan masalah sebegini?
Biasanya semasa berhenti rehat kita bagi amaran. Kalau masih ulangi kesalahan, kita keluarkan mereka daripada konvoi walaupun sudah nak dekat sampai destinasi.

Komen anda dalam dua kejadian marsyal berlagak seperti polis trafik yang tular baru-baru ini?
Dalam sesebuah grup marsyal seperti kebanyakan konvoi yang saya pernah ikut, mungkin dalam 10 marsyal yang disediakan, hanya separuh yang ada latihan atau pengalaman sebagai marsyal.

Selebihnya adalah kawan-kawan mereka. Ada pula motosikal berkuasa tinggi, ada geng motosikal dan pernah ikut konvoi, mulalah rasa kononnya sudah layak jadi marsyal.

Bagi saya, tiga kriteria ini tak cukup. Golongan inilah yang selalu buat hal, marsyal last minute (dilantik saat akhir).

Kebanyakannya bila sudah pakai vest atau jaket kuning marsyal, mulalah rasa diri sudah ada kuasa, sudah pegang undang-undang. Apabila pakai vest marsyal, rasa orang lain perlu hormat mereka. Sikap sebegini yang mencetuskan masalah pada konvoi.

Sama juga dengan konvoi kereta. Tampal stiker ada perkataan ‘Marsyal’ di belakang kereta, mulalah nak tahan kenderaan lain bagi beri laluan pada konvoi. Rasa diri lagi hebat bila ada radio komunikasi dua hala.

Apa pengguna jalan raya patut buat apabila menerima arahan daripada marsyal?
Pengguna jalan raya pun perlu juga bertolak ansur dan bertimbang rasa sikit. Mereka kena fikirkan tentang keselamatan. Setakat diminta memperlahankan kenderaan oleh marsyal, apa salahnya. Bayangkan kalau ada ahli keluarga mereka yang ikut konvoi sedemikian.

Pandangan anda bagi atasi masalah ini?
Saya cadangkan marsyal diberikan latihan dan kursus yang cukup oleh badan-badan berkaitan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Kementerian Pengangkutan.

Marsyal yang tamat kursus dan latihan diberikan kad atau sijil perakuan. Kelayakan sebagai marsyal ini diwajibkan diperbaharui setiap tahun. Ini termasuk ujian kesihatan, ujian peraturan jalan raya dan sebagainya yang berkaitan. Ini bagi memastikan marsyal yang ada benar-benar layak untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×