PETALING JAYA: Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa bebas bagi mengatasi kemelut 22,288 doktor kontrak agar kumpulan tersebut tidak meneruskan mogok siri kedua dan meletakkan jawatan beramai-ramai Disember ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, jawatankuasa bebas yang tidak terikat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin menjadi penyelesaian terbaik buat isu doktor kontrak.
Sebaliknya, menurut beliau, jawatankuasa itu akan menjadi orang tengah antara kerajaan dan Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi menyelesaikan masalah secara adil bagi kedua-dua belah pihak.
“Antara pertikaian yang tidak sudah seperti ada pihak mendakwa kerajaan tiada duit untuk menyerap semua doktor kontrak ke jawatan tetap.
“Tetapi, ada pula pihak yang mengatakan sistem kesihatan negara memerlukan lebih banyak doktor, jadi sewajarnya kita menyerap doktor-doktor berkenaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Zainal Ariffin, isu ini seharusnya diselesaikan melalui perbincangan dan berakhir dengan cepat.
“Walaupun tiada kesan akibat kempen mogok siri satu tetapi saya pasti ia menimbulkan persepsi kepada doktor berkenaan,” katanya.
Perkembangan terbaharu Gerakan Hartal Doktor Kontrak kelmarin memaklumkan mereka merancang untuk meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini.
Gerakan tersebut bertindak demikian selepas kecewa dengan baki 22,288 doktor berkenaan yang tidak diserapkan ke jawatan tetap.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail pula berkata, pihaknya menyokong kempen mogok pada Disember ini sekiranya ia benar-benar berlangsung secara aman.
“Perhimpunan dahulu aman selain tidak mengganggu tugas perkhidmatan kesihatan dan paling penting tidak menyusahkan pesakit, PERDIM sokong,” kata beliau.
Bagaimanapun, menurut beliau, rancangan untuk turut meletakkan jawatan secara beramai-ramai adalah tidak betul.
“PERDIM percaya kumpulan itu hanya ingin menzahirkan perasaan ketidakpuasan hati mereka sambil cuba menarik perhatian pihak berwajib untuk bertindak menyelesaikan permintaan mereka,” tambahnya. – UTUSAN










