Titik penyatuan Melayu masih kelam - Utusan Malaysia

Titik penyatuan Melayu masih kelam

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia masih menjadi pegangan parti itu setakat ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh menjadi titik penyatuan politik Me­layu-Islam antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, namun perkara tersebut bergantung kepada pendirian tokoh-tokoh politik dalam parti masing-masing.

Bersatu dan Pas dilihat semakin kerap melaungkan soal perpaduan Melayu-Islam, namun UMNO masih bermain tarik tali untuk bekerjasama.

Sikap UMNO itu tentunya ada kaitan dengan anggapan mereka yang mahu terus menjadi ‘abang besar’ dan mengetuai agenda tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berpandangan, PRN Melaka wajar merintis matlamat perpaduan Melayu-Islam, namun usaha itu dilihat sukar kerana sikap ego membelenggu parti-parti politik khususnya membabitkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, rundingan kerusi antara UMNO dan PN yang diketuai Bersatu masih buntu apabila masing-masing mahu jumlah kerusi terbanyak dan menjadi kuasa dominan dalam kepimpinan kerajaan negeri.

“Ada pihak mahu penyatuan ummah kerana ingin mengelak pertandingan tiga penjuru dan akhirnya memberikan ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang PRN.

“Tetapi ada satu pihak mengatakan mereka perlu jadi do­minan dan perlu bertanding di semua 28 kerusi DUN. Jadi persoalan-persoalan begini yang merencatkan titik penyatuan Melayu-Islam dalam PRN Melaka,” katanya.

Bagi pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling, agenda penyatuan ummah adalah sentimen yang sering diungkap pihak tertentu yang tertekan dengan penolakan rakyat sejak kebelakangan ini.

Malah katanya, PN didakwa cuba menjadikan UMNO sebagai alat percaturan politik mereka yang masih baharu dalam politik tanah air dengan menggunakan kekuatan parti itu untuk meraih undi.

“Bagi UMNO dan BN adalah bertanding secara solo adalah jalan terbaik kerana ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka berhadapan fitnah pembangkang sehingga kalah teruk dan ini masanya untuk membuktikan kepada rakyat,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, soal penyatuan parti-parti Melayu merupakan perkara kedua, sebaliknya aspek integriti calon dan boleh menang merupakan asas pen­ting dalam PRN kali ini.

Jelasnya, rakyat akan melihat sejauh mana parti bertanding meletakkan calon yang boleh membela nasib mereka.

Katanya, rakyat akan menolak pemimpin terlibat dalam percaturan krisis politik sehingga membawa kejatuhan kerajaan baru-baru ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×