Jangan perjudi keselamatan anak - Utusan Malaysia

Jangan perjudi keselamatan anak

TANGGUNGJAWAB pengusaha taska adalah memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terbela. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan. – Mukadimah Dasar Kanak-Kanak Negara.

Malaysia sememangnya komited dalam menjaga dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak, atas faktor golongan itu masih perlu dilindungi daripada sebarang musibah dan kecelakaan. Komitmen ini bukanlah semata-mata kerana Malaysia merupakan negara yang menandatangani CRC, malah sebelum ratifikasi sudah pun terdapat undang-undang berkenaan kanak-kanak yang digubal.

Ini tidak lain bertujuan mengawal selia dan memastikan kebajikan kanak-kanak akan terpelihara secara holistik. Walaupun begitu, masyarakat dilihat masih lagi belum peka dan sedar terdapat perlindungan dan penetapan undang-undang khusus berkenaan pusat penjagaan kanak-kanak iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) dan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Kedua-dua akta ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Masyarakat perlu peka tentang kewujudan akta-akta ini terutama kerana taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan sudah menjadi salah satu daripada perkhidmatan yang perlu di kawasan-kawasan bandar.

Akta 308 digubal untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas taman-taman asuhan dan perkara berkaitan untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak. Taska ditakrifkan sebagai mana-mana premis yang mengandungi empat orang kanak-kanak di bawah umur empat tahun, lebih daripada satu isi rumah yang dijaga untuk upah.

Terdapat empat kategori utama taska sebagaimana digariskan dalam Seksyen 5 Akta 308. Pertama, bagi kategori taska di rumah, menerima kurang daripada 10 orang kanak-kanak untuk dijaga yang didaftarkan di bawah Seksyen 7. Kedua, taska di institusi iaitu yang menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan.

MAJIKAN

Ketiga, taska di tempat kerja yang menjaga 10 orang atau lebih yang disediakan oleh majikan. Keempat adalah taska komuniti, iaitu diwujudkan di sesuatu kawasan tertentu yang menerima bantuan daripada kerajaan.

Menurut Akta 308, setiap taska ini perlu berdaftar dengan pihak berwajib menurut prosedur di bawah Seksyen 7 dan kegagalan pendaftaran atau beroperasi tanpa pendaftaran merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman menurut Seksyen 6 Akta 308. Hukuman di bawah seksyen ini adalah denda sehingga RM20,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Selain keperluan mendaftar, Seksyen 17 dan 17A Akta 308 menggariskan kesalahan-kesalahan berhubung taska. Kesalahan-kesalahan ini sekiranya disabitkan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tanggungjawab yang ada pada pengusaha taska adalah berat bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terbela. Ini kerana mengikut prosedur, terma dan syarat dalam Seksyen 8 Akta 308, sebelum kebenaran diberikan bagi taska-taska ini beroperasi, pelbagai aspek perlu diteliti dan kemudahan perlu disediakan termasuklah pekerja.

Berbeza dengan Akta 308, Akta 506 adalah lebih luas kerana takrifan pusat jagaan merangkumi kanak-kanak yang berumur lebih empat tahun dan warga emas. Menerusi Seksyen 5 Akta 506, pendaftaran pusat jagaan juga perlu dilakukan. Kegagalan untuk melakukan sedemikian merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 2.

UPAH

Terdapat dua jenis pusat jagaan iaitu pusat jagaan harian dan pusat jagaan berkediaman. Pusat jagaan harian merupakan premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan selama tempoh berterusan melebihi tiga jam sehari, sekurang-kurangnya tiga hari seminggu sama ada menerima upah atau selainnya. Pusat jagaan berkediaman pula adalah premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan sebagai penghuni di dalamnya, sama ada menerima upah atau selainnya.

Sebagaimana Akta 308, Akta 506 juga menggariskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pengendali pusat jagaan dalam Seksyen 7 Akta 506. Kriteria ini perlu dipatuhi oleh pemohon-pemohon sebelum dipertimbangkan oleh pihak berkuasa.

Seksyen 18 Akta 506 juga menyatakan kesalahan-kesalahan berhubung dengan pusat jagaan yang mana sekiranya disabitkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Mungkin terdapat sebilangan pihak yang berpendirian tidak perlu pusat-pusat jagaan atau taska-taska ini didaftarkan sebelum beroperasi.

Hakikatnya, tujuan pendaftaran antaranya memastikan pusat-pusat jagaan dan taska-taska tersebut benar-benar berkemampuan dalam memelihara dan menjaga kanak-kanak sebelum kebenaran beroperasi dikeluarkan.

Cabaran utama adalah mengenal pasti mekanisme terbaik agar taska dan pusat jagaan yang bercambah banyak dalam masyarakat adalah berdaftar dan mematuhi garis panduan ditetapkan. Seharusnya hanya yang berkelayakan dan terlatih dengan kemudahan yang selesa disediakan bagi manfaat kanak-kanak.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan; dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×