MUKADIMAH
SEKTOR pelancongan dan perhotelan diketahui umum terjejas akibat pandemik Covid-19. Impaknya turut dirasai rakyat yang mula tertekan akibat sekatan pergerakan yang bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun sektor itu pernah dibuka selama enam bulan pada tahun lalu, namun enam bulan kemudian sekatan dikenakan semula dan banyak perniagaan berkaitan hampir ‘mati.’
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, HEE LOY SIAN berkongsi perancangan pembangunan semula sektor pelancongan dan perhotelan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri itu yang dijangka bermula September ini.
UTUSAN: Bagaimana pandemik ini memberi kesan kepada sektor pelancongan di Selangor?
LOY SIAN: Selepas pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac 2020, kita nampak penurunan pelancong yang datang ke Selangor, bukan setakat dari negara luar tetapi juga warga tempatan yang takut hendak keluar melancong.
Tetapi selepas Jun tahun lepas, PKP habis, jadi pelancongan domestik bertambah selepas mereka terlalu lama duduk di rumah dan pergi berjalan-jalan merentas daerah dan negeri. Itu yang berlaku di Selangor, penduduk ghairah untuk melancong.
Sejauh mana seriusnya?
Sektor pelancongan amat kritikal kerana tiada kedatangan pelancong dari luar, sempadan negara juga belum dibuka untuk menerima mereka masuk. Kedatangan pelancong di Selangor banyak dari luar negara berbanding tempatan terutama China, Arab, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.
Pada 2018, kita dapat kutip cukai pelancongan sebanyak RM10.3 juta, 2019 (RM10.9 juta) tetapi untuk 2020 kita hanya dapat kutip sekitar RM1.5 juta. Jadi, nampak berkurang terlalu banyak sebab pelancong luar kurang.
Bagaimana pula tahun ini?
Tahun lepas (2020) kita masih ada Januari, Februari dan Mac. Tiga bulan sahaja (pintu sempadan negara dibuka). Walaupun cuma tiga bulan, masih menyumbang angka yang besar kepada kerajaan negeri. Untuk tahun ini saya rasa memang kosonglah nampaknya.
Jadi, jika lihat kutipan 2018 dan 2019, memang nampak Selangor merupakan antara negeri yang kutip paling banyak cukai pelancongan sebab kita ada banyak hotel selain Kuala Lumpur.
Apa bantuan dan kelonggaran diberikan kepada pengusaha hotel supaya mereka dapat terus bertahan?
Kita sudah pun meluluskan tujuh buah hotel utama di Selangor sebagai pusat kuarantin khusus untuk mereka yang pulang dari luar negara. Jadi, ini pun sudah menyelamatkan perniagaan hotel itu supaya boleh meneruskan operasi dan tidak perlu kurangkan atau potong gaji pekerja.
Kedua, kita sedang meluluskan hotel-hotel untuk dijadikan pusat kuarantin bagi pesakit Covid-19 terutama tahap satu dan dua. Mereka boleh kuarantin di rumah tetapi kerana ada jumlah ahli keluarga yang ramai, mereka mampu bayar. Boleh pilih kelas hotel atau hotel bajet juga.
Perancangan lain?
Kita sedang mengkaji dari segi potongan cukai pintu, tanah ataupun lesen perniagaan pengusaha hotel. Kita sedang mengumpul data ini daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
S
ebab ini bidang kuasa PBT, mereka akan kurangkan kutipan, macam moratorium. Kita akan kaji kesannya. Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan 11 sektor. Bagaimana kerajaan negeri akan memastikan sektor pelancongan tidak mati?
Di Selangor, banyak produk pelancongan terutama pelancongan eko yang sedang kita promosikan. Sebab itu tahun lepas kita promosikan Pusing Selangor untuk rakyat negeri ini sebab tidak boleh rentas negeri. Sambutannya amat bagus, kita promosikan produk-produk pelancongan tempatan terutama Sky Mirror, kelip-kelip dan Blue Tears di Kuala Selangor.
Dalam usaha untuk promosi Pusing Selangor, kita juga memperkenalkan baucar pelancongan. Tahun lepas, kita memperuntukkan RM2 juta untuk baucar pelancongan, setiap baucar dijual RM200. Sasarannya 10,000 orang pembeli, dapat sambutan yang amat bagus.
Tahun ini, kita juga memperkenalkan baucar pelancongan dengan membelanjakan RM1 juta. Setiap baucar dijual RM100 dengan sasaran 10,000 orang. Cuma kali ini kita buat khas untuk orang Selangor sebab masih tak boleh rentas negeri. Jadi, kita buat khas untuk orang Selangor.
Bila program Pusing Selangor mahu diperkenalkan semula?
Kalau Fasa 2 PPN dibuka, jadi hotel pun pasti dibenarkan untuk beroperasi. Statistik kes baharu Covid-19 sekarang pun masih tidak stabil. Jadi, kita harap pada minggu pertama September ini, kalau tiada halangan, kita yakin akan masuk fasa kedua PPN.
Itu pun bergantung kepada pengurusan Covid-19 dan vaksinasi. Kadar vaksinasi di Selangor agak tinggi, sudah mencecah lebih 50 peratus. Saya rasa sehingga bulan hadapan, kita boleh capai 80 peratus imuniti kelompok orang dewasa.
Kalau dibenarkan selepas Fasa 2 PPN, saya rasa orang ramai akan merentasi daerah untuk melancong. Mereka terlalu lama berkurung dalam rumah, pasti hendak ‘bernafas’ dengan pergi bercuti. Tak boleh pergi ke negara lain, tak rentas negeri, jadi penduduk boleh fokus kepada produk pelancongan di Selangor.
Insentif lain yang kerajaan negeri sediakan?
Kita juga memperuntukkan RM1 juta bagi menyediakan geran promosi pelancongan yang dibuka kepada semua 17 persatuan pelancongan yang hendak mempromosikan produk mereka secara dalam talian. Kita akan bagi geran maksimum RM20,000 bagi setiap syarikat.
Kita juga memperuntukkan RM300,000 untuk kursus pendigitalan bagi pengusaha produk pelancongan dan hotel. Sebab sekarang hendak promosi memerlukan bayaran. Untuk buat itu semua, mereka tiada modal, hendak memulakan balik pun susah. Mereka boleh sertai kursus pendigitalan untuk promosikan produk dalam internet.










