UNTUNG rakyat Malaysia. Sekali saja mengundi, tapi dapat tiga perdana menteri. Itu antara jenaka yang berlegar di media sosial ekoran negara ini sudah mempunya tiga orang perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018. Dalam masa kira-kira 40 bulan selepas PRU-14 kita sudah ada tiga Perdana Menteri.
Adakah ini petanda bahawa suasana politik kita sangat dinamik? Atau sangat tidak stabil selepas tewasnya Barisan Nasional (BN)? Atau berkait rapat dengan kurangnya sifat amanah dalam kalangan wakil rakyat yang kita pilih?
Apa pun pilihan raya umum 2018 itu buat pertama kalinya menyaksikan BN yang ditunjangi UMNO tumbang sebagai kerajaan dalam tempoh 60 tahun. Mandat untuk memerintah diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu, Amanah dan beberapa parti lain.
Kemenangan PH itu membawa kepada pelantikan ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh. Tetapi kerajaan PH itu tidak berdiri atas asas yang kukuh kerana majoriti yang mereka peroleh untuk bentuk kerajaan tidak banyak. Pada permulaan PH hanya ada 113 kerusi di Dewan Rakyat. Cukup-cukup untuk bentuk kerajaan. Namun selepas itu ia ditambah dengan lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah (Warisan). Keseluruhannya, mereka mempunyai 121 kerusi di Parlimen untuk mentadbir negara.
Tentunya tidak ada siapa yang sangka, belum cukup dua tahun kerajaan PH yang dikatakan dipilih oleh rakyat pada PRU14 untuk memerintah mula goyah. Selain dasar-dasar dan polisinya dikritik, pakatan sesama mereka juga mula luntur.
Pertama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menuntut janji. Ini kerana ketika PKR dan DAP berpakat dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk sama-sama menumbangkan BN pada PRU-14, persetujuan yang dicapai ialah Dr. Mahathir hanya jadi perdana menteri untuk tempoh dua tahun.
Dr. Mahathir hanya akan kemudi negara melalui proses peralihan dari BN ke PH. Selepas dua tahun jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar.
Sebab itu menjelang tahun kedua pemerintahan PH, Anwar bersama penyokongnya mendesak supaya diadakan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepadanya. Tetapi itu tidak menjadi realti.
Memburukkan lagi keadaan, Dr. Mahathir bertindak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.
Apabila Dr. Mahathir letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu mengumumkan bahawa parti itu yang ada 28 ahli Parlimen (termasuk 15 yang lompat dari UMNO) keluar dari PH. Selepas itu menyusul pula Langkah Sheraton yang mana Datuk Seri Mohd Azmin Ali bersama sembilan ahli Parlimen PKR keluar parti dan menyokong Muhyiddin. Bersatu dengan sokongan 38 kerusi ini, bergabung pula dengan UMNO dan Pas membentuk Perikatan Nasional (PN).
Tetapi siapa sangka kerajaan PH akan tumbang dan penggantinya adalah PN yang diterajui Muhyiddin. Tetapi sebelum Muhyiddin dapat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan. Pelbagai drama terpaksa dilalui. Permulaan kepada drama ini sudah tentunya peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir. Ia diikuti dengan Bersatu bertindak keluar daripada PH. Dan klimaknya adalah Langkah Sheraton yang menyaksikan Azmin ‘belot’ kepada Anwar dengan membawa keluar sembilan wakil rakyat PKR untuk menyokong Ahli Parlimen Pagoh sebagai perdana menteri. Ada yang kata drama politik ini layak dapat anugerah Oskar.
Walaupun digelar kerajaan pintu belakang, tebuk atap dan sebagainya, tetapi Muhyiddin dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang selari dengan Perlembagaan untuk membolehkannya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri tanpa perlu melalui semula proses pilihan raya.
Kebetulan ketika di peringkat awal Muhyiddin menjadi perdana menteri, pandemik Covid-19 baru menunjukkan peningkatan. Muhyiddin melalui pasukan pentadbiran kelihatan bertindak bijak mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendungnya disertai dengan pelbagai bantuan lain rakyat. Dalam sekelip mata Muhyiddin disanjung malah dipanggil Abah. Dalam barisan Kabinetnya ada yang dipanggil Paklong dan Pakngah.
Namun, panas tidak sampai ke petang. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi titik tolak kepada kejatuhan apabila ia menjadi antara punca kes-kes Covid-19 kembali melonjak. Ia menjadi semakin tidak terkawal hingga membawa kepada pengumuman darurat. Dalam keadaan darurat itu diumum pula total lockdown (kecuali sektor perkilangan). Darurat dan total lockdown sangat memberi kesan kepada rakyat. Sedangkan kes meningkat melebihi 20,000. Rakyat menderita hilang pendapatan. Walaupun pelbagai pakej bantuan diumumkan termasuk bakul makanan namun ia tidak mampu mengurangkan derita rakyat. Disebabkan total lockdown yang berpanjangan perniagaan kecil tidak mampu bertahan.
Pada masa sama UMNO turut bermain tarik tali dengan Muhyiddin apabila meletakkan pelbagai syarat dan tekanan termasuk supaya diadakan PRU selepas darurat tamat. Kemuncaknya UMNO bertindak menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Hilang sokongan majoriti memaksa Muhyiddin meletakkan jawatan.
Peletakan jawatan Muhyiddin membuka peluang kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan. Tanpa perlu melalui pilihan raya umum, UMNO yang kehilangan tampuk pemerintahan pada PRU-14 kembali berada di puncak kuasa.
Memang tidak dapat dielakkan kembalinya UMNO ke tampuk pemerintahan negara membawa pelbagai persepsi negatif sama ada di dalam dan luar negara. Akhbar Kompas Indonesia melaporkan UMNO yang merupakan parti dengan skandal korupsi terbesar di Malaysia kembali mengisi jawatan perdana menteri. Tulis akhbar itu walaupun kalah pada PRU-14, UMNO kembali ke tampuk pemerintah setelah Muhyiddin hilang majoriti.
Kini semuanya terletak di bahu Ismail Sabri untuk mengikis dan menangkis segala tohmahan negatif ini.
Sebagai Perdana Menteri Kesembilan yang dilantik tanpa perlu melalui proses pilihan raya, tanggungjawab utama beliau adalah meyakinkan rakyat bahawa apa yang berlaku ini adalah betul dan bukan pintu belakang. Rakyat perlu diyakinkan bahawa kepemimpinan baharu ini mampu menjernihkan yang keruh dan mengembalikan pentadbiran negara ke landasan yang betul.
Sama ada rakyat Malaysia bertuah atau tidak dapat tiga perdana menteri hanya melalui satu pilihan raya kita tunggu dan lihat.
Penulis ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










