PETALING JAYA: Malaysia terus mencatat peningkatan jangkitan positif Covid-19 yang mencecah 23,564 kes sekali gus menjadikan tertinggi setakat ini dengan 233 kematian, semalam.
Daripada jumlah kematian itu, sebanyak 60 kes dilaporkan meninggal dunia di rumah menjadikan keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini mencecah 13,713 kes.
Pada masa ini, sejumlah 257,417 kes aktif sama ada di kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau dirawat di hospital dengan 1,062 kes daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU) selain 518 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 6,974 kes diikuti Sabah (2,738), Sarawak (2,548), Kedah (1,932), Kuala Lumpur (1,652), Pulau Pinang (1,523), Johor (1,323), Kelantan (1,281), Perak (1,248).
Situasi bilangan kes baharu yang terus meningkat turut mempengaruhi sambutan dingin dalam kalangan rakyat terhadap kelonggaran kerajaan terhadap kebenaran makan di restoran bagi negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor mendapati beberapa restoran tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang masih memilih membeli makanan yang dibungkus kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Segelintir pengusaha restoran belum bersedia menerima pelanggan makan di premis mereka kerana bimbang jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.
Di beberapa lokasi medan selera Putrajaya, keadaan lengang dengan kerusi dan meja masih belum disusun.
Peniaga Medan Selera Presint 8 yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Salma berkata, dia belum menerima arahan daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) berhubung kebenaran dine-in.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Syed Kechik berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya tunggu notis pihak PPj.
Peniaga juga bimbang jika berlaku penipuan mereka yang belum lengkap dua dos vaksin mengambil kesempatan.
Seorang pengunjung yang juga pekerja swasta, Akmaliah Abdul Hamid, 31, berkata, suasana hari pertama masih belum sibuk mungkin kerana ramai masih belum tahu kebenaran makan di restoran. – UTUSAN










