NEGARA berhadapan pelbagai cabaran hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pergolakan politik yang berterusan dan kini ditambah jumlah jangkitan harian virus Covid-19 yang sangat tinggi telah memberi impak besar ke atas kesejahteraan hidup rakyat.
Minggu ini dimulakan dengan berita peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini merupakan kali ketiga Malaysia bertukar kerajaan dalam tempoh empat tahun. Dalam tempoh kurang dua tahun, dua Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan masing-masing akibat hilang sokongan di Dewan Rakyat.
Dalam sistem demokrasi, kerajaan akan menjadi kukuh dan stabil hanya jika mendapat mandat yang besar. Adalah sukar bagi kerajaan yang hanya mempunyai sokongan majoriti tipis untuk kekal menjadi kerajaan yang kuat. Pergolakan politik yang kecil sesama mereka sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan. Apalagi jika kerajaan tersebut bersifat minoriti.
Kita dapat melihat banyak negara menjadi huru-hara apabila berlaku krisis politik sebegini. Namun, kita bertuah kerana Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di mana Yang di-Pertuan Agong ialah ketua utama negara. Walaupun kerajaan telah jatuh, sistem pemerintahan negara masih boleh berjalan seperti biasa dan keadaan keselamatan rakyat masih terjamin. Bayangkan musibah yang boleh berlaku jika kita tidak mempunyai raja yang mempunyai kuasa eksekutif dalam sistem pemerintahan negara?
Setiap rakyat seharusnya memahami dan menghormati prinsip pemerintahan negara yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Kerangka Perlembagaan Persekutuan dibentuk mengikut acuan kita dan bukannya terikat kepada mana-mana perlembagaan negara luar.
Sistem kenegaraan kita adalah berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu merupakan tonggak pemerintahan di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan sangat penting dalam memastikan pemerintahan negara kekal stabil dan hak rakyat terpelihara.
Sejarah membuktikan Tanah Melayu telah berkembang maju sejak berkurun-kurun lalu di bawah pemerintahan raja-raja Melayu yang berdaulat. Kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu bukan sekadar maju dalam bidang perdagangan dan kekuatan tentera tetapi juga mempunyai struktur pemerintahan yang baik dan tersusun.
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, kita sudah mempunyai undang-undang bertulis, iaitu Hukum Kanun Melaka yang menjadi asas perundangan negeri.
Kefahaman tentang sejarah negara adalah penting dalam membentuk jati diri kita sebagai anak bangsa yang sayangkan negara. Kemajuan tanpa menitikberatkan pembentukan sahsiah jati diri bangsa akan melahirkan insan-insan yang gagal mengenali identiti diri. Akibatnya, kita akan hanyut, berpecah dan gagal membentuk rakyat yang taat dan sayangkan negara bangsa.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ke manakah kita jika tidak lagi mempunyai semangat kebangsaan yang jitu?
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.










