Dari pemuda ke Perdana Putra - Utusan Malaysia

Dari pemuda ke Perdana Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah nama yang dalam radar rakyat bagi menerajui kerajaan. Namun, takdir memungkin segalanya.

Ismail Sabri, 61, bermula sebagai seorang peguam pada 1985 dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh (1987) dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh (1996).
Pada 1995, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik.

Karier beliau dalam jemaah menteri bermula pada 2008 sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kejayaan membawa negara cemerlang dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 memungkinkan beliau dikekalkan dalam Kabinet sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2009.

Dasar paling popular yang beliau wujudkan adalah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Ternyata sentuhan itu banyak memberi kesenangan hidup kepada rakyat.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beliau diamanahkan memikul jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ketika di situ, beliau membuat transformasi dengan melancarkan Jihad Memerangi Orang Tengah dalam rantaian bekalan makanan.

Pada 2015, beliau dilantik menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sehingga PRU-14 pada 2018. Desamall@online dan Mara Digital Mall antara perkara yang paling diingat oleh rakyat sehingga saat ini.

Selepas PRU-14, beliau menjadi ketua pembangkang, suatu tugas hebat dan bukan calang-calang ahli politik boleh berada di situ. Hasil kepintarannya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal untuk bertahan dan tewas dengan serangan demi serangan beliau serta pasukannya.

Ahli Parlimen Bera ini kembali ke Kabinet dan dilantik sebagai Menteri Pertahanan serta jurucakap kerajaan dalam mengurus prosedur operasi standard Covid-19.
Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) beliau diberi kepercayaan menggalas tugas Menteri Kanan (Keselamatan) dan terbaru, Timbalan Perdana Menteri.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sesungguhnya pelantikan ini suatu cerminan kepada semua betapa negara memerlukan sebuah keadaan politik yang stabil agar kualiti kehidupan kita makin bertambah baik.

Daripada rekod terdahulu, Ismail Sabri sentiasa meninggalkan kejayaan demi kejayaan di setiap kementerian yang beliau singgah. Justeru, tidak mustahil beliau mampu melakukan yang terbaik untuk kita semua ketika berada di puncak kuasa.

Tahniah Datuk Seri!

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×