Covid-19: Jangkitan 27,000 kes sehari bulan depan - Utusan Malaysia

Covid-19: Jangkitan 27,000 kes sehari bulan depan

Ribuan pekerja warga asing membanjiri Pusat Pemberian Vaksin Konvensyen Midlands Seksyen 7, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkitan harian Covid-19 diramal terus meningkat sehingga 27,000 kes sehari bulan depan susulan penularan varian baharu selain dipercayai terdapat lebih tiga kali ganda individu positif tetapi gagal dikesan masih bebas dalam komuniti.

Semalam, Kementerian Kesihatan terus merekodkan jangkitan harian tertinggi sebanyak 20,596 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,203,706 kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ancaman besar sekarang ialah penemuan varian baharu terutama Delta dan kini Delta Plus serta individu positif tetapi mereka terus merayau-rayau dalam masyarakat.

“Varian baharu dan individu yang tidak sedar sudah dijangkiti itu akan menyebabkan lonjakan jangkitan Covid-19 jika tidak diberi perhatian.

“Fakta tersebut boleh dilihat berdasarkan, jumlah mangsa maut yang dikategori brought in dead (BID) yang terus meningkat kebelakangan ini.

“Sekiranya dahulu BID kurang daripada 10 kes sehari tetapi kini sudah menjangkau 20 ke 30 kes BID dalam sehari,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, jumlah BID ini adalah satu petunjuk yang membimbangkan kerana ia mengambarkan kebarangkalian individu yang positif tetapi bercampur dalam komuniti sebenarnya ramai mungkin dua atau tiga kali ganda.

“Semakin lambat pesakit positif dikesan menyebabkan kes harian terus meningkat dan satu masa nanti bukan lagi 20,000 sehari tetapi boleh sampai 26,000 atau 27,000 kes sehari mungkin berlaku sekitar September nanti,” kata beliau.

Mengenai program vaksinasi, Sharifa memberitahu, perkara itu antara usaha menyekat penularan namun dengan perkembangan semasa terutama pengesanan varian baharu ia menimbulkan kebimbangan tahap keberkesanan vaksin-vaksin yang menjadi benteng menyekat penularan.

“Namun vaksinasi’ adalah usaha tepat kerana setakat ini hanya menerusi vaksinasi sahaja jalan yang ada menyekat penularan dan menyekat lebih ramai mangsa menemui ajal.
“Sudah ada negara-negara yang membuktikan selepas mencapai imunisasi kelompok lekuk jangkitan Covid-19 menurun,” kata beliau.

Bagaimanapun, Sharifa menyarankan, individu yang divaksin tetap perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana sudah ada negara di Eropah berlaku peningkatan semula kes kerana mengabaikan amalan memakai pelitup muka.

Senada dengan Sharifa, pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar pula berkata, melihat kepada jangkitan, angka itu mungkin terus meningkat namun tidak dapat dipastikan sampai bila peningkatan akan berlaku kerana ia bergantung kepada beberapa faktor menghalang penularan.

“Kalau program pengesanan secara besar-besaran terus dilakukan sudah pasti kes jangkitan akan terus banyak. Ini juga bermakna ramai di luar sana tidak sedar mereka positif dan menjadi penyebar.
“Jumlah kes positif mungkin terus meningkat namun saya tidak boleh ramal sehingga tahap mana ia boleh capai atau sampai bila kerana ia bergantung kepada usaha-usaha menyekat jangkitan,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya meramalkan angka kemuncak kes akan mencapai sehingga 25,000 kes sehari menjelang pertengahan bulan ini.

“Mengikut pemerhatian Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Chong Chee Keong, beliau meramalkan angka jangkitan akan terus meningkat sehingga pertengahan bulan sebelum turun semula selepas itu,” kata beliau.

Kuljit memberitahu, penurunan jangkitan kelak mempunyai kaitan dengan vaksinasi yang semakin bertambah di seluruh negara.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 1,000 pesakit wabak itu dimasukkan ke hospital di Lembah Klang setiap hari, iaitu peningkatan lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu.

Menurut beliau, jumlah itu selari dengan peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“ Dashboard CPRC Hospital System juga menunjukkan bilangan pesakit menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi.

“Beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan,” kata beliau menerusi Facebook semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×