Kita menuju kemenangan - Utusan Malaysia

Kita menuju kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 27 Julai lalu, Wilayah Persekutuan Labuan mencatat dua rekod. Pertama, menjadi yang pertama mencapai imuniti kelompok apabila 54,800 atau 80 peratus daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerima dua dos vaksin. Satu lagi rekod, imuniti berkelompok di pulau itu dicapai tiga hari lebih awal dari tempoh disasarkan.

Yang menarik, imuniti kelompok Labuan dicapai ketika kes di tempat-tempat lain sedang melonjak naik. Ia juga terjadi tatkala sebahagian orang semakin tidak yakin terhadap upaya kerajaan membendung pandemik yang luar biasa ini.

Apa yang dapat dipelajari daripada senario itu ialah hakikat bahawa kerajaan tidak pernah berputus asa, apatah lagi berpeluk tubuh dalam usaha mengembalikan rakyat ke dalam kesejahteraan kesihatan dan kemakmuran hidup. Semangat itu tidak pernah patah walaupun cabaran getir yang dihadapinya digetirkan lagi dengan sikap kelompok tertentu yang mahu melihat kerajaan gagal kerana kegagalan itu banyak manfaatnya kepada mereka.

Pencapaian imuniti kelompok di Labuan memberikan isyarat jelas bahawa kita berada di landasan yang betul untuk menumpaskan Covid-19. Ia juga adalah cerminan bahawa negara sudah mula mengecap hasil awal daripada perjuangannya.

Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan pola kes harian kebelakangan ini, di mana data terkini Hospital Sungai Buloh sehingga 18 Julai lalu menunjukkan penurunan ketara kemasukan kes jangkitan serius (kategori 4 dan 5) dalam kalangan warga emas, bermula pada minggu epidemiologi (ME) ke-23.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya pada 20 Julai lalu berkata, trend penurunan itu didapati selaras dengan permulaan fasa kedua PICK yang dimulakan seawal April lalu dan mula menunjukkan tanda-tanda awal keberkesanannya sejak ME ke-22. Sebagai contoh, pesakit berusia 60 hingga 79 tahun, seramai 217 orang dimasukkan ke hospital bagi kes positif kategori berkenaan pada ME ke-21, sebelum menurun kepada 125 (ME ke-23) manakala pada ME ke-28 adalah 119 pesakit.

Dalam satu kenyataan lain tiga hari kemudian, Noor Hisham berkata, hanya 1.3 peratus daripada 15,573 kes baharu dicatatkan pada 23 Julai lalu adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 15,368 kes lagi melibatkan pesakit kategori 1 dan 2.

HOSPITAL SWASTA

Tidak dinafikan terdapat peningkatan jumlah kes positif pada hari-hari kebelakangan ini. Malah pada hari artikel ini ditulis, jumlah kes baharu ialah 17,405 yang merupakan rekod baharu tertinggi. Namun, ia tidaklah menggambarkan keadaan telah tidak terkawal sebaliknya menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani pandemik ini kerana peningkatan jumlah kes mempunyai kaitan dengan usaha menjalankan kerja-kerja saringan.

Memang benar, apabila peningkatan jumlah kes baharu mula berlegar pada angka 7,000 hingga 8,000 sehari dan selepas itu menjadi berbelas ribu, wujud kebimbangan kemungkinan runtuhnya sistem kesihatan negara tetapi tindakan pantas kerajaan berjaya memadamkan kebimbangan itu. Antara langkah segera yang diambil ialah menukar Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia kepada hospital penuh Covid-19, di samping meningkatkan kapasiti di beberapa hospital lain untuk dijadikan pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5.

Langkah juga diambil bagi menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal, menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam.

Bagi maksud sama, Kementerian Kesihatan menggerakkan kerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang serta menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS).

Bukti lain terhadap keupayaan sistem kesihatan kita dapat dilihat daripada kadar pemberian vaksin harian di bawah PICK yang mencatat jumlah sehingga lebih 550,000 dos sehari.

Dari segi ekonomi, kita mula menikmati impak positif daripada pelbagai pakej yang dilancarkan oleh kerajaan. Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Inisiatif Tambahan Khas Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, semuanya merangsang pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam suasana sukar yang menyelubungi seantero dunia.

Pembangkang boleh meremehkan kenyataan ini tetapi beberapa petunjuk ekonomi utama jelas mencatatkan pencapaian lebih kukuh. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara misalnya melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021, pertumbuhan paling tinggi sejak Julai 2013.

Eksport negara melonjak 31 peratus kepada RM104.9 bilion pada Mac 2021, iaitu pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 44 bulan. Import pula meningkat 19.2 peratus kepada RM80.8 bilion.

Lebihan dagangan mencatat RM24.2 bilion atau 96.1 peratus lebih tinggi berbanding Mac 2020. Ia adalah lebihan dagangan bagi bulan ke-11 berturut-turut sejak Mei 2020. Dan banyak lagi angka-angka positif lain yang menunjukkan ekonomi negara sebenarnya masih dan terus kukuh.

Kesan sampingan dibawa oleh Covid-19 yang menyaksikan penutupan sejumlah perniagaan, peningkatan kadar pengangguran dan pergerakan perlahan di beberapa sektor memang berlaku tetapi ia tidaklah sampai melumpuhkan sistem secara keseluruhan.

Pada masa sama, pertumbuhan positif hasil daripada pakej-pakej rangsangan turut membuka peluang-peluang baharu seiring norma-norma baharu kehidupan.

Mulai Ogos ini, kerajaan akan mula memberikan kelonggaran-kelonggaran khas kepada mereka yang telah melengkapkan dos vaksin masing-masing. Secara tidak langsung mereka menjadi kumpulan awal yang akan mengecap nikmat daripada bibit-bibit kejayaan dalam peperangan melawan Covid-19.

Mereka akan menjadi simbol kemenangan hasil daripada keazaman, kesungguhan dan kerja keras sebuah kerajaan yang tidak berkompromi dengan apa sahaja yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara!

Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×