KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 300 petugas barisan depan di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Mega Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Zainal Abdin memberitahu, sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan itu merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang dilaksanakan sejak Jun lalu.
“Ia merupakan inisiatif serampang dua mata yang dapat membantu petani memasarkan lebihan hasilan pertanian mereka dan dalam masa sama dapat membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19,” katanya pada majlis tersebut.
Sementara itu, Irmohizam berkata, kesemua petugas barisan hadapan di PPV tersebut telah mengorbankan masa dan tenaga mereka setiap hari demi menyumbang kepada usaha untuk mencapai imuniti kelompok dan memvaksin seramai mungkin rakyat Malaysia.
“Program MAFI Prihatin sangat memberangsangkan dalam memberi ruang dan manfaat kepada banyak pihak terutama sekali dalam tempoh pandemik yang begitu mencabar ini.
“Manfaat itu kini turut dirasai oleh para petugas barisan depan di PPV Mega WTCKL dan ini sedikit sebanyak
dapat menaikkan semangat dan usaha mereka untuk meneruskan perjuangan dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.
Sejak 1 Jun hingga 18 Julai lalu, seramai 59,816 penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin menerusi 264 program yang diadakan di seluruh negara melibatkan 10 buah jabatan dan agensi di bawahnya dengan nilai bantuan mencecah sehingga RM5.2 juta.
Dalam pada itu, Zainal Abidin memberitahu, pelaksanaan MAFi Prihatin menerusi FAMA sahaja sehingga Selasa lalu telah memberi manfaat kepada 25,172 orang di 114 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 42.19 metrik tan makanan telah disalurkan. – UTUSAN ONLINE










