ISKANDAR PUTERI: Peningkatan kes buli yang dilaporkan khususnya di sekolah-sekolah negeri ini menjadi satu trend yang membimbangkan dan perlu ditangani melalui kaedah lebih berkesan, bukan ‘business as usual’.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, isu keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah perlu dilihat secara serius dan ditangani secara menyeluruh.
Katanya, kejadian buli di sekolah kini merupakan kerisauan utama dalam kalangan murid dan pelajar, golongan ibu bapa, warga pendidik dan masyarakat umum.
“Data rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kes buli di peringkat nasional iaitu 6,528 kes pada tahun 2023 kepada 7,681 kes pada tahun 2024. Manakala bagi Johor, 984 kes direkodkan pada tahun 2023 sebelum meningkat kepada 1,080 kes (2024), manakala sehingga September 2026, sebanyak 773 kes buli dicatatkan.
“Sehubungan itu satu tindakan yang luar biasa untuk memastikan isu keselamatan ini dapat ditangani secara berkesan perlu diambil segera,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan), Selamat Takim (BN-Sungai Balang) dan Chu Poh Yee (PH-Mengkibol) berhubung masalah disiplin pelajar serta kematian seorang pelajar di Yong Peng dan keselamatan di sekolah.
Tambah Dr. Muhammad Naqib, terdapat tiga faktor yang perlu diberi perhatian serentak bagi menangani insiden buli di sekolah iaitu masalah penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang, perbuatan buli serta gangguan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
“Di Johor, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melancarkan Kempen Sekolah Selamat Negeri Johor menerusi inisiatif J-Safe.
“Inisiatif ini mengandungi dua komponen iaitu ‘J-Safe Action’ sebagai instrumen panduan digital pengurusan sekolah dan ‘J-Safe Smart Youth Movement’ yang memperkasa murid sebagai rakan strategik membina budaya sekolah selamat.
“Program Karakter Murid Johor (KrMJ) juga akan diperkasa bagi memupuk nilai adab, integriti, jati diri, kawalan diri, rasa hormat serta pertimbangan moral yang tinggi dalam diri setiap anak Johor,” katanya.
Beliau turut memberitahu masyarakat khususnya golongan ibu bapa atau pelajar berhak mengemukakan laporan terus kepada polis berhubung insiden buli sekiranya aduan tidak ditangani dengan baik oleh pihak sekolah.-UTUSAN











