KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bergantung kepada sistem amaran awal MySiren semata-mata untuk menyampaikan maklumat kecemasan kepada orang awam, sebaliknya turut menggunakan beberapa saluran alternatif bagi memastikan penduduk di kawasan titik buta telekomunikasi tidak tercicir daripada menerima amaran.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara kaedah alternatif yang tersedia termasuk pemasangan siren oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta penggunaan unit siar raya menerusi program Info On Wheels oleh Jabatan Penerangan.
“Pendekatan pelbagai saluran itu penting khususnya bagi kawasan yang berdepan gangguan komunikasi akibat kerosakan bekalan elektrik sehingga menyebabkan menara telekomunikasi tidak berfungsi.
“Kemudahan Info On Wheels membolehkan Jabatan Penerangan bergerak ke kawasan berpenduduk untuk menyampaikan maklumat secara terus sekiranya saluran komunikasi sedia ada mengalami gangguan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian di sini hari ini.
Menurut beliau, penilaian menyeluruh masih belum dapat dimuktamadkan memandangkan ujian sistem berkenaan baru berlangsung kira-kira tiga jam ketika sidang media diadakan.
Katanya, kementerian akan mendapatkan maklumat lengkap sebelum menyediakan Nota Jemaah Menteri bagi memaklumkan hasil ujian tersebut.
“Laporan berkenaan turut mengambil kira isu yang timbul sepanjang pelaksanaan ujian, termasuk keberkesanan penyampaian notifikasi di kawasan yang berdepan masalah liputan telekomunikasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kewujudan beberapa kaedah penyampaian alternatif membolehkan kerajaan terus menyalurkan maklumat kecemasan walaupun berdepan gangguan terhadap infrastruktur komunikasi.
Justeru, keberkesanan sistem amaran awal perlu dilihat bersama keupayaan saluran sokongan lain bagi memastikan maklumat kecemasan dapat disampaikan kepada penduduk di seluruh negara. – UTUSAN











