PERNAH menyimpan cita-cita untuk bergelar guru Pendidikan Jasmani, Adib Andhar Andan kini bukan sahaja mahu mengukir nama di pentas antarabangsa, malah memasang impian untuk suatu hari nanti melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal dari Bumi Kenyalang.
Pelumba basikal trek negara berusia 20 tahun itu menyimpan hasrat untuk bergelar jurulatih di negeri kelahirannya suatu hari nanti kerana percaya masih ramai bakat di Sarawak yang belum dicungkil.
“Saya dahulu mahu menjadi guru Pendidikan Jasmani, tetapi suatu hari nanti saya mahu menjadi jurulatih di Sarawak kerana saya percaya ramai bakat di sana yang belum dicungkil.
“Namun, buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada karier, memperbaiki prestasi dan mencapai lebih banyak kejayaan, terutama pada Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menyingkap perjalanan kariernya, anak sulung daripada dua beradik itu pada awalnya aktif bermain ragbi sejak Tingkatan Satu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 mengubah haluan hidupnya.
Bermula dengan kayuhan santai bersama rakan-rakan menggunakan basikal yang dibelikan ibunya, Adib semakin serius menceburi sukan berkenaan selepas beralih kepada basikal lebuh raya dan menyertai sebuah kelab berbasikal di Kuching.
Bakatnya mula mendapat perhatian selepas menyertai beberapa perlumbaan tempatan sehingga dipilih mewakili Sarawak, sebelum kekuatan kayuhannya membuka laluan untuk menyertai skuad pelapis kebangsaan pada 2025.

Menariknya, Adib yang pernah menyuarakan hasrat kepada rakannya untuk suatu hari nanti muncul di kaca televisyen ketika menonton acara berbasikal trek Sukan Malaysia (SUKMA) akhirnya merealisasikan impian itu dengan merangkul dua pingat emas pada edisi Selangor, Ogos lalu.
Kejayaan dalam acara keirin dan pecut individu itu menjadi pencapaian paling bermakna buat dirinya, selain mencipta sejarah sebagai pelumba pertama Sarawak menjuarai acara keirin pada temasya berkenaan.
Namun, bagi penuntut Sarjana Muda Sains Senaman di Universiti Malaya (UM) itu, kegembiraan merangkul pingat emas tidak dapat menandingi perasaannya ketika melihat ibunya memegang pingat berkenaan.
“Memang saya bangga ketika memegang pingat itu, tetapi apabila melihat ibu memegangnya, saya lebih gembira kerana dapat membahagiakannya dan membuatkan keluarga bangga,” katanya.
Menyedari besarnya pengorbanan ibunya, Adib turut menyimpan impian untuk menghadiahkan sebuah kereta idaman buat insan yang banyak berjasa dalam perjalanan kariernya itu.
“Dahulu ibu bertungkus-lumus bekerja untuk membelikan saya basikal yang bukannya murah. Saya berharap suatu hari nanti dapat membelikan kereta idamannya,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, Adib terpaksa berkorban tinggal berjauhan dengan keluarga, malah tidak berpeluang pulang menyambut Aidilfitri tahun ini kerana komitmen sukan di Filipina.

Kini, pelumba kelahiran Kuching itu mengintai pingat emas pada Sukan SEA 2027, namun keutamaannya adalah merebut tempat dalam skuad negara ke temasya dwitahunan itu.
Sebagai persediaan, Adib turut menyasarkan catatan 9.8 saat (s) dalam sesi kelayakan flying 200 meter (m) menjelang temasya berkenaan.
Menjadikan disiplin dan semangat juang jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai inspirasi, Adib juga tidak menutup peluang untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
“Perjalanan untuk melayakkan diri ke LA 2028 memang agak sukar kerana jurang mata yang besar, tetapi tiada yang mustahil. Saya akan terus berusaha untuk mengumpul mata,” katanya.











