PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka membentuk kerajaan negeri seawal hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini sekiranya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu menang tanpa bertanding.
Selain GPS bertanding semua 82 kerusi DUN, parti lain hanya meletakkan 40 calon iaitu kurang daripada 42 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Setakat ini, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 calon manakala DAP 12 calon dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) pula dua calon.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan 42 kerusi DUN Sarawak bakal menyaksikan tiada pertandingan sekiranya hanya seorang calon bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon bertanding diisytiharkan menang sekiranya tiada pencabar mengemukakan pencalonan selepas waktu penamaan ditutup pada pukul 10 pagi.
Bagaimanapun katanya, SPR perlu meneliti implikasi perundangan sekiranya GPS memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas selesai proses penamaan.
“Aspek berkenaan masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan sebarang tindakan mematuhi peraturan pilihan raya.
“Berdasarkan peraturan semasa, semua proses pilihan raya perlu diteruskan manakala sebarang pengumuman berhubung isu ini akan dibuat selepas SPR memperoleh pengesahan AGC.
“Kalau berdasarkan peraturan sedia ada, kita kena lihat semua proses pilihan raya ini mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya ditemui selepas meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon DUN Samariang di Dewan Serbaguna Taman Sukma, Kuching, semalam.
Sebelum ini, Barisan Nasional (PN), Perikatan Nasional (PN), PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah (Amanah) mengumumkan tidak meletakan calon dalam PRN Sarawak.
Dalam pada itu, pensyarah sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, GPS boleh memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri jika benar-benar memenangi 42 daripada 82 kerusi DUN Sarawak tanpa bertanding.
Malah katanya, ini bemakna GPS sudah mempunyai jumlah kerusi yang diperlukan sebelum hari pengundian.
“Namun, angka kerusi itu masih merupakan unjuran awal dan bukannya keputusan rasmi. Segala-galanya bergantung pada proses penamaan calon, termasuk kemungkinan kemunculan calon bebas atau calon parti tempatan pada saat akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut daripada perspektif demokrasi, kemenangan tanpa bertanding adalah sah tetapi tidak boleh disamakan dengan mandat popular yang diukur melalui peti undi.
“Cabaran GPS bukan sekadar memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, tetapi memastikan dominasi politik diterjemahkan kepada pentadbiran berkualiti, pembangunan yang saksama, integriti dan mekanisme semak dan imbang yang berkesan.
“Semakin besar penguasaan sesebuah kerajaan, semakin besar juga tanggungjawab dan akauntabilitinya kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM), Geoffrey Tang, kemenangan tanpa pertandingan atau ketiadaan pembangkang dalam DUN disifatkan tidak sihat kepada amalan demokrasi walaupun GPS mempunyai peluang besar untuk kembali membentuk kerajaan negeri.
Katanya, tidak dinafikan kestabilan politik penting bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup ruang persaingan politik sehingga rakyat kehilangan peluang memilih wakil mereka.
Menurutnya, kerajaan yang kuat sepatutnya berani menerima kritikan dan teguran, bukannya melihat kewujudan pembangkang sebagai ancaman terhadap kestabilan pentadbiran.
“Kita akui GPS akan kembali membentuk kerajaan, tetapi persoalannya apabila tiada pembangkang, siapa yang akan menyemak dan mempersoalkan tindakan kerajaan? Kita tetap memerlukan elemen semak dan imbang supaya pentadbiran lebih telus,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang memainkan peranan penting dalam DUN, khususnya untuk membawa suara rakyat, mengemukakan soalan serta memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan diteliti.
“Ketiadaan pembangkang bukan bermakna sesebuah kerajaan itu sudah cukup sempurna, sebaliknya boleh menyebabkan kelemahan pentadbiran tidak dicabar secara berkesan,” katanya.
SPR sebelum ini menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak dengan hari penamaan calon hari ini, manakala pengundian awal pada 8 Disember.
PRN Sarawak diadakan ekoran pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober lalu di bawah Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.-UTUSAN











