Suami bukan tidak sayang, cuma sukar meluahkan perasaan

Suami bukan tidak sayang, cuma sukar meluahkan perasaan

sukar berkongsi masalah boleh mencetuskan salah faham antara pasangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah isteri bertanya kepada suami, “Abang ada masalah ke?” tetapi jawapan yang diterima hanya, “Tak ada apa-apa.”

Namun, daripada riak wajah dan perubahan tingkah lakunya, jelas ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran. Suami kelihatan lebih banyak diam, mudah tersinggung, kurang berbual atau memilih menghabiskan masa bersendirian.

Apabila ditanya berkali-kali, jawapannya tetap sama. Lama-kelamaan, isteri mula tertanya-tanya. Adakah suami sudah tidak selesa berkongsi cerita? Adakah dia tidak lagi mempercayai pasangan sendiri? Atau mungkin ada sesuatu yang sengaja disembunyikan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah/Laku Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, tidak semua lelaki yang sukar meluahkan perasaan bermaksud tidak menyayangi atau mempercayai isteri. Ada yang sebenarnya sedang bergelut dengan emosi sendiri, tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengenal pasti dan menyampaikannya.

Ada juga yang tahu apa yang dirasakan, namun memilih untuk menyimpannya kerana bimbang dianggap lemah, hilang penghormatan atau membebankan keluarga.

Katanya, terdapat perbezaan antara lelaki yang tidak tahu meluahkan perasaan dengan lelaki yang tidak berasa selamat untuk berbuat demikian.

Katanya, ada lelaki yang menyedari dirinya sedang tertekan, tetapi sukar mengenal pasti sama ada emosi itu berpunca daripada rasa kecewa, sedih, takut, malu atau bimbang.

Dalam psikologi, keadaan kesukaran mengenal pasti dan menghuraikan emosi sendiri dikenali sebagai alexithymia.

“Sebaliknya, ada lelaki yang sebenarnya tahu apa yang dirasainya, tetapi memilih untuk tidak bercerita kerana bimbang dianggap lemah atau kehilangan penghormatan daripada orang lain.

“Sebab itu saya kurang bersetuju apabila kita terlalu cepat melabelkan lelaki yang sukar bercerita sebagai mempunyai ego yang tinggi. Ada yang tidak tahu bagaimana hendak bermula, ada yang takut untuk bermula dan ada yang sudah terbiasa untuk tidak bermula,” katanya.

Sejak kecil diajar lelaki mesti kuat

Sejak kecil, sebahagian anak lelaki sering diingatkan supaya tidak menangis, sentiasa kuat dan tidak menunjukkan kelemahan.

Ungkapan seperti “lelaki jangan menangis” atau “menangis macam perempuan” mungkin kedengaran biasa, tetapi mesej yang disampaikan boleh meninggalkan kesan terhadap cara mereka menguruskan emosi apabila dewasa.

Menurut Shazli, didikan sedemikian secara tidak langsung membentuk tanggapan bahawa emosi seperti sedih, takut dan kecewa tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang lelaki.

Lama-kelamaan, mereka mungkin percaya meluahkan perasaan merupakan tanda kelemahan. Walaupun sudah dewasa dan tiada sesiapa lagi melarang mereka menangis, kepercayaan itu sudah sebati dalam diri.

Keadaan ini dikenali sebagai stigma kendiri. Beliau menjelaskan, sesuatu tingkah laku boleh terbentuk melalui proses pemikiran, idea, perancangan, tindakan dan akhirnya menjadi tabiat apabila dilakukan berulang kali.

Sebagai contoh, apabila anak lelaki sering diberitahu menangis ialah tanda kelemahan, dia mungkin membesar dengan kepercayaan emosinya perlu disembunyikan. Tindakan memendam perasaan yang dilakukan berulang kali akhirnya menjadi kebiasaan.

“Jangan ketika anak lelaki menangis, kita menyuruhnya diam, tetapi apabila dia sudah dewasa dan menjadi seorang suami, kita pula mempersoalkan mengapa dia tidak pandai meluahkan perasaan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA).

SHAZLI EZZAT GHAZALI

Cekap urus kerja, tetapi buntu apabila ditanya perasaan

Pernah melihat suami begitu petah bercerita tentang pekerjaan, kewangan, politik atau perkara yang diminatinya, tetapi tiba-tiba menjadi pendiam apabila isteri bertanya tentang perasaan sendiri?

Keadaan itu mungkin membuatkan isteri berasa pelik. Bagaimana seseorang yang mampu menguruskan organisasi, menyelesaikan masalah kerja dan membuat keputusan besar boleh pula sukar menjawab soalan mudah seperti, Abang sebenarnya rasa apa?”

Menurut Shazli, kemahiran intelektual dan kemahiran emosi ialah dua perkara berbeza.

Apabila bercakap tentang pekerjaan atau kewangan, seseorang berhadapan dengan perkara yang lebih konkrit seperti fakta, angka, masalah dan kemungkinan penyelesaian. Sebaliknya, apabila diminta berkongsi perasaan, dia perlu melihat ke dalam diri, mengenal pasti emosi serta mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkannya.

“Jika selama bertahun-tahun seseorang lebih banyak dilatih menyelesaikan masalah berbanding mengenali emosi sendiri, tidak hairanlah dia lebih cekap dalam perkara yang sering dilakukannya.

“Malah, bagi sesetengah lelaki, bercerita tentang kegagalan, ketakutan atau rasa tidak berdaya boleh menimbulkan kebimbangan bahawa dirinya akan dinilai oleh pasangan.

“Mereka mungkin tertanya-tanya sama ada isteri masih menghormatinya selepas mengetahui kelemahan yang selama ini cuba disembunyikan,” katanya.

Beban menjadi suami dan pencari nafkah

Antara sebab lain yang menyebabkan lelaki memilih untuk memendam masalah ialah tekanan memenuhi tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Dalam masyarakat, lelaki sering dikaitkan dengan peranan sebagai pencari nafkah, pelindung keluarga dan individu yang perlu menyelesaikan masalah rumah tangga.

Shazli berkata, masyarakat juga kadangkala terlalu cepat mengukur kejayaan lelaki berdasarkan pekerjaan, pendapatan, kedudukan dan kemampuan menyediakan keperluan keluarga.

Keadaan itu boleh menyebabkan mereka berasa malu untuk mengakui sedang bergelut.

Ada juga suami yang tidak mahu bercerita kerana beranggapan tindakan tersebut dapat melindungi isteri daripada kebimbangan. Namun, niat untuk tidak membebankan pasangan tidak semestinya menyelesaikan masalah.

Tekanan yang dipendam terlalu lama boleh muncul melalui perubahan tingkah laku seperti mudah marah, lebih sensitif, mengalami gangguan tidur, sukar memberikan tumpuan atau semakin menjauhkan diri daripada keluarga.

Reaksi pasangan boleh mempengaruhi keterbukaan suami

Menurut Kaunselor Perkahwinan, Mohd. Redzuan Zamberi, isteri perlu memahami kasih sayang dan kebolehan meluahkan emosi ialah dua perkara berbeza.

Ada lelaki menunjukkan kasih sayang melalui tanggungjawab, usaha mencari nafkah dan menjaga keluarga. Namun, apabila berdepan masalah, mereka lebih selesa memprosesnya sendiri.

“Lelaki yang kurang meluahkan perasaan tidak semestinya kurang menyayangi isterinya,” katanya.

Justeru, isteri boleh membantu dengan membina komunikasi secara berperingkat, bukannya memaksa suami berubah dalam sekelip mata.

“Elakkan memotong percakapan, terus memberi nasihat, menyalahkan, membandingkan atau menggunakan kelemahan yang dikongsi sebagai senjata ketika bergaduh.

“Cuba dengar sehingga selesai. Isteri boleh bertanya, “Abang mahu saya dengar dahulu atau kita fikirkan penyelesaian bersama-sama?” Ada masa pasangan perlukan pendengar dahulu, bukan jawapan segera,” kongsinya.

Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, antara petunjuk masalah komunikasi mula menjejaskan keintiman emosi dan keharmonian rumah tangga ialah apabila pasangan semakin kurang berkongsi cerita, malah perbualan harian hanya berkisar tentang urusan rumah tangga dan anak-anak.

MOHD REDZUAN ZAMBERI

Keadaan menjadi lebih ketara apabila pasangan mudah bertengkar, semakin kurang menunjukkan perhatian dan kemesraan, selain lebih selesa berkongsi masalah dengan orang lain berbanding pasangan sendiri.

Beliau mengingatkan keharmonian rumah tangga tidak boleh diukur berdasarkan ketiadaan pergaduhan semata-mata.

Ada kalanya pasangan tidak lagi bertengkar bukan kerana masalah sudah selesai, sebaliknya kerana masing-masing sudah berhenti menyuarakan perasaan.

“Rumah tangga harmoni bukan rumah tangga tanpa masalah, tetapi rumah tangga yang mampu membincangkan dan menyelesaikan masalah bersama,” katanya.

Sepanjang lebih 23 tahun terlibat dalam bidang kaunseling, Mohd Redzuan berkata, isu komunikasi sering menjadi antara perkara yang dibangkitkan pasangan ketika mendapatkan khidmat kaunseling, meskipun aduan awal mereka mungkin berkaitan masalah kewangan, kepercayaan, hubungan intim atau keluarga.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai angka khusus untuk menentukan jumlah pasangan yang hadir semata-mata kerana suami sukar meluahkan perasaan.

Dalam membantu pasangan, beliau biasanya membimbing mereka mengenal pasti corak komunikasi, memahami keperluan emosi masing-masing, mengamalkan kemahiran mendengar secara aktif serta belajar menyampaikan perasaan tanpa menyalahkan pasangan.

Menurutnya, usaha memperbaiki komunikasi tidak boleh bergantung kepada seorang sahaja, sebaliknya memerlukan kesediaan kedua-dua pihak untuk berubah dan memahami satu sama lain.

“Kadangkala pasangan bukan kehilangan kasih sayang, tetapi kehilangan kemahiran untuk menyampaikan dan memahami kasih sayang itu,” katanya.

Jelasnya, suami perlu sedar tindakan meluahkan perasaan bukan tanda kelemahan, manakala isteri pula perlu memberikan ruang untuk suami berkongsi tanpa terburu-buru menghukum.

Justeru, pasangan tidak seharusnya hanya menjadi teman yang berkongsi tanggungjawab dan kehidupan seharian, tetapi juga tempat untuk saling meluahkan perasaan ketika berdepan kesukaran.

“Suami juga manusia yang mempunyai emosi. Dia mungkin menjadi tempat isteri bersandar, tetapi siapakah tempat suami bersandar apabila dia sendiri hampir rebah?” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini