Myanmar enggan patuhi sebahagian keputusan ICJ kes genosid Rohingya

Myanmar enggan patuhi sebahagian keputusan ICJ kes genosid Rohingya

MIN AUNG HLAING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW: Myanmar tidak akan mematuhi bahagian tertentu dalam keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes genosid yang dianggap tidak sesuai, kata pemimpin negara itu, Min Aung Hlaing dalam kenyataan umum pertamanya sejak keputusan mahkamah berkenaan.

Keputusan bersejarah ICJ minggu lalu mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap etnik minoriti Rohingya dalam operasi ketenteraan pada 2017 yang mengorbankan ribuan orang dan memaksa lebih 700,000 penduduk melarikan diri.

Myanmar menafikan melakukan genosid dengan mendakwa tenteranya bertindak balas terhadap serangan kumpulan bersenjata. Negara itu menjadi negara pertama yang didapati melanggar Konvensyen Genosid 1948.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aung Hlaing berkata, istilah genosid telah menjejaskan reputasi negara itu dengan serius, lapor media kerajaan.

“Myanmar akan mengambil tindakan sewajarnya sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, tetapi tidak akan mematuhi tuntutan yang dianggap tidak sesuai,” katanya dalam satu mesyuarat pada Rabu, menurut media kerajaan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan bahagian mana dalam keputusan ICJ yang dibantah Myanmar.

Kes genosid itu dibawa oleh Gambia pada 2019 dan tertumpu kepada ‘operasi pembersihan’ yang dilancarkan pada 2017 di negeri Rakhine, tempat majoriti etnik Rohingya beragama Islam menetap.

ICJ mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh secara kejam dalam operasi itu, manakala lebih 700,000 lagi dipercayai melarikan diri ke Bangladesh melalui jalan darat atau laut. Mahkamah turut mendapati kira-kira 815,000 Rohingya menjadi sasaran dalam operasi berkenaan.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti sembilan daripada 15 hakim, manakala enam hakim tidak bersetuju.

ICJ turut memutuskan melalui majoriti bahawa Myanmar melanggar beberapa peruntukan lain dalam Konvensyen Genosid 1948. Keputusan itu bersifat muktamad dan tidak boleh dirayu.

Mahkamah mengarahkan Myanmar membayar pampasan yang setimpal, namun jumlah sebenar akan ditentukan kemudian.

Myanmar juga diperintahkan menghentikan pelanggaran yang masih berlaku serta segera menyiasat individu yang disyaki melanggar konvensyen berkenaan.

Bagaimanapun, ICJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan arahan itu dan bergantung kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta tekanan politik bagi memastikan keputusan mahkamah dipatuhi.

Walaupun keputusan itu sebahagian besarnya bersifat simbolik, ia disambut baik oleh masyarakat Rohingya dan kumpulan hak asasi manusia yang sekian lama memperjuangkan nasib etnik berkenaan.

Lebih 12 negara mengiktiraf keputusan ICJ itu, manakala United Kingdom (UK) mengumumkan sekatan terhadap beberapa pemimpin kanan tentera Myanmar.

Myanmar terus dilanda perang saudara sejak Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa pada 2021 bagi menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.

Rampasan kuasa itu menjadikan Myanmar negara yang dipulaukan masyarakat antarabangsa, selain rejim tenteranya berdepan sekatan meluas.

Sejak itu, Aung Hlaing berusaha mengembalikan Myanmar ke dalam masyarakat antarabangsa, namun negara itu masih tersisih daripada beberapa platform diplomatik utama.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini