Syarikat pembekal ayam, 4 individu dituduh perdaya pengguna, bersubahat

Syarikat pembekal ayam, 4 individu dituduh perdaya pengguna, bersubahat

BEBERAPA individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini bagi berdepan pertuduhan membekalkan 6.5kg ayam dengan memperdayakan orang ramai bahawa produk berkenaan adalah halal.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah syarikat penyembelihan ayam, Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd, dan empat individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdayakan pengguna bahawa makanan dibekalkan itu adalah halal dan boleh dimakan umat Islam serta bersubahat, bulan lalu.

Empat individu berkenaan dikenali sebagai Zafirah Karim, 36; Tanjena Akter Mollah, 35; Hossain Saddam, 34; dan Abdul Rahim Ariff Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu serta Zafirah dan Tanjena sebagai pengarahnya, dan Hossain yang juga pengurus syarikat, didakwa telah membekalkan makanan iaitu 6,555 kilogram (kg) ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Rahim sebagai pekerja pula didakwa bersubahat dengan syarikat itu untuk melakukan kesalahan sama.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 12.45 tengah malam 30 Oktober lalu di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum bawah Subperenggan 5(a) perintah sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM5 juta serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pengarah, pengurus dan Abdul Rahim pula didakwa mengikut subperenggan sama yang boleh dihukum bawah Subperenggan 5(b) perintah sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau boleh dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim.

Zafirah, Tanjena dan Hossain diwakili peguam, Bernard Francis, manakala Abdul Rahim tiada diwakili peguam.

Mohd Sophian menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000, selain syarat tambahan semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap bulan.

Tanjena dan Hossain yang juga warga asing bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang ikat jamin.

“Kedua-dua mereka ini adalah warga Bangladesh dan mempunyai risiko pulang ke negara asal, sekali gus menyukarkan pihak pendakwaan untuk mengesan mereka jika perkara itu berlaku,” katanya.

Bernard memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada RM3,500 bagi semua anak guamnya, dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan mereka sepanjang siasatan dilakukan.

Katanya, Abdul Rahim adalah bapa tunggal dan menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun, memohon jumlah minimum RM1,000.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh warganegara dijamin RM35,000 dengan dua penjamin serta perlu mematuhi syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri ke pejabat JAIS dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Dua lagi tertuduh warga Bangladesh pula tidak dibenarkan ikat jamin, selain sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari depan.

Terdahulu, media melaporkan seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong.

Operasi bersepadu itu turut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik mengandungi 6,555kg ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini