LIMA: Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda bahagian tengah Peru, menyebabkan penduduk di ibu negara, Lima bergegas keluar ke jalanan, namun tiada laporan awal mengenai kematian atau kerosakan besar.
Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) memaklumkan gempa itu berlaku di wilayah Andes, Junin.
Menurut Institut Geofizik Peru, gegaran yang turut dirasai di Lima itu berpusat di wilayah Junin pada kedalaman 129 kilometer.
Di Lima, penduduk mengosongkan kediaman masing-masing, manakala rakaman televisyen menunjukkan beberapa ahli Parlimen meninggalkan bangunan Kongres.
Seorang anggota majlis tempatan di wilayah Junin, Vicente Quispe, memberitahu penyiar tempatan RPP, pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan kerosakan susulan gegaran kuat itu.
“Setakat ini, tiada kerosakan dilaporkan. Ini kali pertama gempa bumi dengan magnitud sebesar ini dirasai di kawasan berkenaan,” katanya.
Junin menempatkan beberapa operasi perlombongan berskala sederhana selain lombong Toromocho milik Chinalco, yang merupakan antara lombong tembaga terbesar di Peru.
Peru ialah pengeluar tembaga ketiga terbesar dunia, manakala sektor perlombongan menjadi antara pemacu utama ekonominya.
Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) memaklumkan tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi berkenaan.
Peru terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik (Ring of Fire), zon aktif seismik yang kerap mengalami gempa bumi akibat pergerakan plat tektonik.










