PADA usia 10 tahun, ketika kebanyakan kanak-kanak seusianya masih sibuk dengan pelajaran sekolah, Max Alexander sudah mencipta nama dalam industri fesyen antarabangsa menerusi bakat menghasilkan rekaan busana yang luar biasa.
Kanak-kanak dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu mula menghasilkan rekaan pakaian ketika berusia empat tahun sebelum belajar menjahit dan melancarkan jenama fesyen sendiri pada usia lima tahun.
Kini, murid tahun lima itu sudah menghasilkan lebih 200 rekaan termasuk gaun, skarf, selimut, kimono dan jaket menerusi studio di rumahnya.
Keupayaannya menarik perhatian dunia fesyen apabila berjaya mencipta empat rekod dunia Guinness, termasuk sebagai individu termuda mengendalikan pertunjukan fesyen pada usia tujuh tahun 266 hari dan pereka pertunjukan fesyen termuda di Paris Fashion Week ketika berusia 10 tahun.
Terbaharu, Alexander mencatat dua lagi rekod dunia menerusi pelancaran koleksi fabrik lestari bersama syarikat tekstil AS, Mood Fabrics pada 14 September lalu di New York.
Majlis pelancaran koleksi Mood × Max Alexander itu turut menyaksikan pereka cilik itu mencatat rekod masa terpantas memasukkan benang ke dalam
mesin jahit auto
matik, iaitu hanya 10.16 saat, sekali gus melengkapkan empat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.
Koleksi fabrik lestari berkenaan menampilkan rekaan berwarna-warni yang mencerminkan kecenderungannya terhadap fesyen mesra alam.
Alexander sebelum ini menggunakan pelbagai bahan terpakai seperti beg Tiffany, guni kopi, panel langsir dan payung terjun tentera untuk menghasilkan pakaian.
Minatnya terhadap kelestarian turut menjadi identiti utama jenama Max Alexander dan Couture To The Max, yang menawarkan pelbagai produk daripada aksesori berharga AS$22.99 (RM94.25) hingga gaun bernilai AS$329.99 (RM1,358).
Bakatnya juga mendapat perhatian selebriti antarabangsa apabila Alexander menghasilkan jaket serta kot berbulu tiruan untuk pelakon wanita terkenal Hollywood, Sharon Stone dan Debra Messing, selain gaun putih berlipat unik untuk model, Coco Rocha.
Alexander berkata, hasil rekaannya turut mendapat perhatian selebriti terkenal seperti Martha Stewart dan Jennifer Lopez, selain pernah dipaparkan dalam majalah Vogue.
Popularitinya di media sosial juga melonjak dengan akaun yang dikendalikan ibunya mengumpulkan lebih 13 juta pengikut merentasi pelbagai platform, manakala laporan lain menyebut jumlahnya mencecah 16 juta.
Kejayaan itu turut diabadikan menerusi dokumentari Couture to the Max yang ditayangkan pada Festival Filem Tribeca pada Jun lalu.
Walaupun sudah mengembara ke Paris, Madrid dan Toronto atas urusan kerjaya, Alexander menyifatkan New York mempunyai identiti fesyen tersendiri yang lebih banyak menampilkan warna hitam.
Alexander yang kini masih bersekolah rendah tetap membahagikan masa antara pelajaran dan menghasilkan rekaan pakaian, selain menyimpan impian melanjutkan pengajian di Fashion Institute of Technology.
Alexander berkata, minatnya terhadap fesyen bermula dengan pereka, Christian Dior, namun kini mendapat inspirasi daripada pereka, Pamella Roland yang terkenal dengan rekaan berwarna-warni.
Baginya, keistimewaan dunia fesyen terletak pada kebebasan menghasilkan rekaan daripada apa sahaja bahan, sekali gus membuka ruang kreativiti tanpa batasan.
“Saya gembira kerana berpeluang memperkenalkan hasil rekaan saya kepada dunia. Saya berharap dapat menggalakkan orang ramai memikirkan tentang penggunaan semula pakaian dan mengurangkan pembelian fesyen segera,” katanya kepada majalah People.











