BAITULMAQDIS : Tentera Israel memulangkan lebih 80 jenazah rakyat Palestin yang maut dalam siri serangan di Gaza, selepas satu bedilan membunuh sekurang-kurangnya 18 orang semalam.
Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Awam, Yamen Abu Suleiman bagaimanapun berkata, pihaknya tidak pasti sama ada jenazah-jenazah itu dibongkar semula daripada kubur atau merupakan tahanan yang meninggal dunia akibat diseksa ketika dalam tahanan rejim Zionis.
“Israel tidak memberikan butiran tentang nama, umur atau apa-apa berkaitan jenazah.
“Ini adalah jenayah perang dan perlakuan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya seperti laporan akhbar atas talian al-Arabiya.
Tambah beliau, semua jenazah itu akan diperiksa bagi menentukan punca kematian dan mengenal pasti identiti mangsa.
Katanya, jenazah kemudian akan disemadikan dalam satu kubur besar berhampiran Hospital Al-Nasser di Khan Younis.
Tentera Israel tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, rejim Zionis pernah beberapa kali memulangkan semula jenazah penduduk Palestin selepas mendapati ia bukanlah anggota tentera mereka yang ditahan Hamas sejak 7 Oktober lalu. -AGENSI










