WASHINGTON: Konflik Asia Barat memasuki episod baharu setelah sekurang-kurangnya lima anggota tentera Amerika Syarikat (AS) cedera dalam satu serangan di kem tentera di Iraq hari ini, kata pegawai AS kepada Reuters.
Ia dipercayai susulan kejadian pembunuhan pemimpin kanan Hamas dan Hezbollah pada minggu lalu.
Dua roket jenis Katyusha disasarkan kepada pangkalan udara Asad di barat Iraq, menurut pegawai keselamatan Iraq.
Salah seorang pegawai itu memaklumkan, roket itu jatuh ke pangkalan tersebut.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada serangan itu mempunyai kaitan dengan Iran susulan dua kejadian dua pembunuhan sebelum ini.
Pegawai AS memaklumkan kepada Reuters bahawa salah seorang anggotanya mengalami kecederaan parah.
“Pasukan tentera sedang menjalankan penilaian kerosakan selepas serangan,” tambah salah seorang pegawai.
AS sedang memantau situasi ekoran kemungkinan tindak balas dilakukan Iran berhubung kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di samping konflik Israel dan Hamas di Gaza.-REUTERS










