Pengawal sekolah jangan hanya jaga pagar - Polis

Pengawal sekolah jangan hanya jaga pagar – Polis

Noor Hisam Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) bagi menyeragamkan kontrak pengawal keselamatan di semua sekolah seluruh negara.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin berkata, langkah itu bertujuan meluaskan skop tanggungjawab pengawal keselamatan yang ketika ini dilihat terhad dan bergantung kepada pakej atau bajet yang dilanggan.

Menurutnya, perbezaan pakej kontrak menyebabkan wujud kekangan tugas di mana ada pengawal keselamatan yang hanya ditugaskan menjaga pintu pagar serta memeriksa pelawat luar semata-mata tanpa melakukan rondaan ke kawasan berisiko seperti blok makmal, dewan atau stor sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pakej pengawal keselamatan ini bergantung kepada kontrak. Ibarat membeli kereta, ada spesifikasi asas (basic), ekonomi atau penuh (full spec). Jika pakej asas, tugas mereka mungkin hanya di pondok pengawal atau menjaga pagar dan kantin sahaja.

“Bila berlaku insiden tidak diingini di lokasi lain, mereka terikat dengan terma kontrak yang hanya meliputi kawasan tertentu.

“Justeru, kita berbincang dengan PIKM dan KPM supaya skop tanggungjawab pengawal keselamatan ini dapat diluaskan mengikut terma kontrak yang lebih menyeluruh,” katanya dalam podcast bersama Utusan Malaysia semalam.

Nor Hisam menjelaskan, pengawal keselamatan sekolah sedia ada juga lebih memfokuskan pemeriksaan terhadap tetamu atau pelawat luar yang berurusan di premis sekolah berbanding memantau pergerakan murid.

Katanya, ketiadaan pemeriksaan ke atas beg sekolah murid menyebabkan barang larangan atau objek berbahaya yang boleh dijadikan senjata berisiko terlepas masuk ke dalam kawasan sekolah.

“Pihak pengawal keselamatan tidak memeriksa beg sekolah murid dan kita pun kalau boleh tidak mahulah sekolah di negara ini sampai ke tahap memasang alat pengesan logam (metal detector) seperti di sesetengah negara luar kerana ia nampak kurang sesuai dengan persekitaran sekolah.

“Sebab itu kita mahu bekerjasama dengan KPM untuk mencari kaedah terbaik agar instrumen keganasan seperti pisau dan objek berbahaya dapat dikesan lebih awal sebelum terlepas masuk ke premis sekolah,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PDRM sentiasa berhubung rapat dengan PIKM bagi memberikan latihan serta garis panduan tindakan awal kepada pengawal keselamatan sekiranya berlaku sebarang pergelutan, musibah atau kejadian jenayah di kawasan sekolah sebelum ketibaan pihak polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini