KUALA LUMPUR: Hampir semua pengendali insurans dan takaful serta kebanyakan hospital dijangka menyertai inisiatif MediAsas menjelang pelancarannya pada Januari 2027, sekali gus memperluas pilihan perlindungan perubatan mampu milik kepada rakyat.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Aznan Abdul Aziz berkata, program perintis MediAsas ketika ini membabitkan kira-kira enam pengendali insurans dan takaful serta 10 hospital, dengan permohonan dan pengeluaran polisi sudah mula direkodkan.
Ujarnya, penyertaan awal itu membolehkan BNM dan pihak industri menguji keberkesanan sistem serta menilai kesiapsiagaan operasi sebelum pelaksanaan inisiatif berkenaan diperluaskan.
“Walaupun jumlah permohonan dan polisi yang dikeluarkan masih kecil, penyertaan awal itu mencukupi untuk membolehkan BNM menguji keberkesanan sistem serta kesiapsiagaan operasi sebelum pelaksanaannya diperluaskan.
“Tujuan program perintis ini bukan semata-mata untuk melihat jumlah penyertaan atau angka permohonan, sebaliknya memastikan sistem dapat diuji dan beroperasi dengan baik sebelum dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya pada taklimat prestasi ekonomi suku ketiga 2026 di Sasana Kijang, di sini semalam.
Tambahnya, fasa perintis itu turut membolehkan pihaknya mengenal pasti sebarang kekangan dalam proses permohonan dan pengeluaran polisi yang perlu ditangani sebelum pelancaran rasmi.
Menurut Aznan, MediAsas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan lebih luas untuk menangani peningkatan kos perubatan serta memastikan perlindungan kesihatan kekal mampu dimiliki dan mampan dalam jangka panjang.
Katanya, sistem penjagaan kesihatan negara ketika ini merangkumi kemudahan hospital kerajaan dan swasta, manakala perlindungan insurans perubatan swasta lazimnya beroperasi secara komersial dengan reka bentuk produk berorientasikan pasaran.
“Justeru, MediAsas menyediakan satu lagi pilihan perlindungan yang direka khusus untuk segmen masyarakat tertentu, terutama mereka yang mungkin tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada produk insurans perubatan komersial sedia ada.
“Inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha membangunkan produk perlindungan perubatan berasaskan nilai bagi memperluaskan akses kepada perlindungan kesihatan yang lebih mampu milik,” katanya. – UTUSAN











