PETALING JAYA: Beregu pecah ganding negara, Aaron Tai-Yap Roy King mara ke perlawanan akhir selepas mencipta kejutan ke atas pasangan No. 14 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada separuh akhir Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.
Aaron-Roy King yang berada di ranking No. 57 dunia menewaskan beregu Denmark itu 21-18, 21-18 dalam masa 43 minit.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung Aaron-Roy King ke atas Lundgaard-Vestergaard memandangkan kedua-dua beregu tidak pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Aaron-Roy King yang menjadi wakil tunggal Malaysia melangkah sehingga aksi final, esok, akan menghitung pertemuan dengan beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Bekas juara dunia itu menewaskan beregu pecah ganding China, Wang Chang-Xie Haonan 21-15, 19-21, 21-17 dalam masa 1 jam 1 minit.
Sejak digandingkan bersama, bulan lalu, ini merupakan kejayaan kedua Aaron-Roy King berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas Terbuka Arctic di Finland.
Beregu itu juga berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran kedua mereka selepas menjuarai Terbuka Arctic. – UTUSAN











