Proses pembandaran bumiputera belum selesai - Utusan Malaysia

Proses pembandaran bumiputera belum selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pembangunan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dipisahkan daripada proses pembandaran. Apabila ekonomi berkembang, kegiatan pertanian semakin beralih kepada sektor perindustrian, perdagangan, kewangan, pengangkutan dan perkhidmatan.

Bandar menjadi pusat segala kegiatan ini, sekali gus menjadi medan utama penciptaan kekayaan, pengumpulan modal dan pembentukan kelas ekonomi baharu. Hakikatnya mudah. Kekayaan moden tidak lagi hanya terletak pada pemilikan tanah dan hasil pertanian, tetapi semakin tertumpu kepada pemilikan aset, perniagaan, industri dan peluang ekonomi di bandar.

Persoalannya, sejauh manakah bumiputera benar-benar menguasai proses pembandaran negara? Atau kita sekadar berbangga dengan pertambahan jumlah orang Melayu yang tinggal di bandar, sedangkan penguasaan ekonomi mereka masih jauh ketinggalan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Inilah persoalan besar yang perlu dijawab secara jujur oleh kepemimpinan bumiputera. Jika diteliti, komposisi penduduk bandar di Malaysia berubah dengan ketara. Sekitar 1970-an, penduduk bandar hanya mewakili kira-kira 30 peratus keseluruhan populasi negara. Kini, angka itu meningkat kepada sekitar 70 peratus.

Peningkatan itu turut memperlihatkan semakin ramai Melayu dan bumiputera berhijrah serta menetap di kawasan bandar. Namun, pertambahan penduduk bumiputera di bandar tidak semestinya bermakna peningkatan penguasaan ekonomi mereka. Kita perlu membezakan antara menjadi penduduk bandar dengan pemain ekonomi bandar.

Lebih membimbangkan, orang Melayu mungkin semakin ramai menjadi pengguna, penyewa dan pekerja dalam bandar yang berkembang pesat, tetapi pemilikan terhadap aset serta perniagaan bernilai tinggi masih tertumpu kepada kelompok tertentu.

Semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan menyedari penyertaan Melayu dalam ekonomi bandar perlu dipertingkatkan secara terancang. Pembangunan wilayah seperti Pahang Tenggara dan Johor Tenggara bukan sekadar bertujuan membuka kawasan baharu, tetapi turut menjadi sebahagian daripada strategi menyusun semula masyarakat dan memperluas penyertaan ekonomi bumiputera.

Penubuhan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) juga membawa matlamat yang jelas, iaitu memastikan masyarakat Melayu tidak terus terpinggir daripada kegiatan ekonomi bandar.

UDA adalah instrumen penting untuk membina pemilikan hartanah komersial, memperkukuh usahawan bumiputera dan menyediakan ruang kepada mereka menyertai kegiatan perniagaan di pusat-pusat bandar. Namun, apakah yang berlaku hari ini? Ke mana hilangnya semangat dan keberanian agenda pembandaran bumiputera yang pernah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan negara?

Mengapa isu ini semakin kurang diberikan perhatian? Adakah kita sudah berpuas hati hanya kerana semakin ramai orang Melayu tinggal di bandar, memiliki rumah dan bekerja di sektor perkhidmatan? Hakikatnya, proses penciptaan kekayaan atau wealth creation berlaku dengan pantas di bandar. Di sinilah tertumpunya peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, pemilikan hartanah komersial, pelaburan, kegiatan kewangan, teknologi dan rangkaian perniagaan.

Sebab itu, jika bumiputera mahu mengurangkan jurang ekonomi secara dinamik, mereka mesti turut menguasai sebahagian daripada ekosistem ekonomi bandar. Tidak memadai sekadar membangunkan kawasan luar bandar tanpa memastikan masyarakatnya mampu bergerak ke sektor ekonomi bernilai tinggi.

Lihat sahaja taburan penduduk dan kegiatan ekonomi di Pantai Barat Semenanjung. Shah Alam dan Bangi antara kawasan yang mempunyai komposisi penduduk bumiputera yang besar.

Putrajaya juga mempunyai majoriti penduduk bumiputera, tetapi kedudukannya berbeza kerana ia lebih berfungsi sebagai pusat pentadbiran berbanding pusat komersial dan industri. Sebaliknya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang berkembang sebagai pusat perdagangan, kewangan, perindustrian dan perkhidmatan yang menjana nilai ekonomi lebih besar.

Di sinilah wujudnya persoalan yang lebih serius. Mengapa kawasan yang menjadi pusat pengumpulan kekayaan dan pekerjaan berkualiti tinggi tidak turut menjadi pusat penguasaan ekonomi bumiputera?

Putrajaya mungkin menjadi mercu kejayaan pentadbiran negara, tetapi pusat komersial yang menjana keuntungan besar berkembang di lokasi lain. Siapakah yang memiliki bangunan, menguasai rangkaian perniagaan, membekalkan perkhidmatan dan menikmati limpahan kontrak daripada pertumbuhan tersebut?

Persoalan ini perlu diberikan perhatian kerana Johor Bahru juga sedang menuju ke arah perkembangan sebagai pusat komersial, perindustrian dan logistik yang penting, khususnya dengan perkembangan ekonomi Johor dan hubungan rentas sempadan dengan Singapura.

Adakah kepemimpinan bumiputera sudah mempunyai strategi yang jelas untuk merebut peluang tersebut? Kita tidak sepatutnya mengulangi kesilapan lalu. Pembangunan kawasan baharu dan projek infrastruktur berskala besar tidak boleh hanya dinilai berdasarkan nilai pelaburan, jumlah bangunan yang didirikan atau pertambahan peluang pekerjaan.

Kita juga perlu mengukur berapa banyak kekayaan berjaya dimiliki dan dikekalkan bumiputera hasil daripada pembangunan itu. Di sinilah agensi seperti UDA dan perbadanan ekonomi negeri perlu dipersoalkan peranan serta keberkesanannya.

Agensi berkenaan tidak boleh sekadar menjadi pemaju hartanah atau pelaksana projek pembangunan biasa. Mereka perlu bertindak sebagai pemangkin pembentukan pemilikan ekonomi bumiputera, khususnya dalam sektor komersial, perindustrian dan perkhidmatan moden. Setiap projek pembangunan bandar perlu mempunyai strategi penyertaan bumiputera sejak peringkat perancangan. Ini termasuk pemilikan premis komersial, penyertaan dalam rantaian bekalan, pembangunan usahawan, pemilikan ekuiti serta penglibatan dalam industri yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

Jangan tunggu sehingga sesebuah bandar berkembang, harga hartanah melonjak dan kawasan komersial dikuasai pemain besar, barulah kita mahu mencari ruang untuk bumiputera. Lebih penting, proses pembandaran hari ini bergerak jauh lebih pantas berbanding dahulu. Digitalisasi, teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan automasi mempercepatkan pemusatan kegiatan ekonomi di bandar.

Kewujudan kelompok industri atau agglomeration pula membolehkan syarikat menikmati kelebihan daripada kedudukan yang berhampiran dengan pembekal, pelanggan, tenaga kerja mahir, institusi kewangan dan infrastruktur sokongan. Namun, siapa yang paling banyak menikmati manfaatnya?

Perbezaan pertumbuhan antara Lembah Klang dan Pulau Pinang berbanding Kota Bharu serta Kuala Terengganu memperlihatkan bagaimana lokasi dan pemusatan kegiatan ekonomi mempengaruhi peluang pembangunan sesebuah wilayah. Jurang ini bukan sekadar perbezaan antara bandar besar dengan kecil. Ia turut membawa implikasi kepada peluang pekerjaan, tahap pendapatan, pemilikan aset dan keupayaan masyarakat membina kekayaan.

Kerajaan sememangnya mempunyai tanggungjawab menyediakan infrastruktur, kemudahan dan persekitaran pelaburan yang kondusif. Namun, apabila pelaburan swasta dan asing tertumpu di Selangor, Pulau Pinang dan Johor, kerajaan perlu memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan tersebut dapat dinikmati secara lebih meluas.

Pelaburan besar tidak secara automatik menjadikan bumiputera kaya. Peluang hanya menjadi kekayaan apabila wujud pemilikan, keupayaan dan penyertaan sebenar. Malangnya, perbahasan mengenai pembandaran bumiputera seolah-olah semakin tenggelam. Naratif memperkasakan ekonomi bumiputera tidak boleh hanya muncul ketika musim politik atau menjelang pilihan raya.

Kita memerlukan strategi pembandaran bumiputera yang baharu, bukan sekadar mengulangi pendekatan lama. Persoalan pembandaran bumiputera sebenarnya belum selesai. Malah, ia semakin mendesak apabila ekonomi negara bergerak ke arah industri berteknologi tinggi dan ekonomi digital.

Kita tidak boleh terus berpuas hati dengan angka 70 peratus penduduk bandar. Angka itu tidak bermakna jika penguasaan terhadap aset, modal dan kegiatan ekonomi masih tidak seimbang.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini