SEJAK dipentaskan 31 Oktober lepas, banyak cakap-cakap manis yang dilayangkan penonton terhadap teater Puteri Gunung Ledang The Musical.
Hanya pujian yang melatari segala sudut, baik dari segi lakonan, pentas, pencahayaan, nyanyian dan banyak lagi.
Dan tentulah, dalam pujian yang diucapkan, terselit nama Sultan Mahmud Shah dan Gusti Adipati Handaya Ningrat lakonan Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.
Keduanya berjaya mendalami watak, sekali gus memberikan lakonan yang memberi kesan kepada audiens selama 16 hari teater itu dipentaskan.
Perjalanan mereka ke arah PGL datang dengan pengalaman berbeza. Bagi Luqman, beliau berterima kasih kepada pelakon hebat, Adlin Aman Ramlie yang menjadi pendorong kepadanya untuk menyertai pementasan berprestij itu.
“Saya berjumpa Adlin sehari sebelum hadiri uji bakat, ketika itu kami bermain pickleball bersama-sama. Saya maklumkan kepadanya yang saya akan menghadiri uji bakat PGL lalu meminta nasihat beliau.
“Adlin sampaikan pesan, jika saya terpilih, dia sendiri yang akan membentuk saya menjadi Sultan Mahmud Shah sehingga berjaya. Pesanan Adlin itu memberi semangat kepada saya untuk hadir uji bakat di hari terakhir,” katanya.

Kata Luqman, meskipun sekadar menghadiri uji bakat, dia tetap memberikan 100 peratus komitmen, datang berbusana serba kuning demi mendalami watak Sultan Mahmud Shah.
“Saya tidak datang (uji bakat) sekadar mencuba. Kalau boleh saya ingin buat sehabis baik, hafal dialog yang diberi. Tujuannya untuk tunjukkan komitmen saya. Kalau sekadar membaca dialog, ia tidak sampai walaupun ia sekadar sesi uji bakat,” kongsinya.
Pementasan bukan perkara asing bagi Yusof Hashim yang sebelum ini pernah menyertai beberapa teater antaranya Gamat The Musical dan Tun Hasmah The Musical.
Namun, dia menganggap pencapaian tertinggi apabila diberi kepercayaan pengarah, Tiara Jacquelina untuk menghidupkan watak Gusti Adipati Handaya Ningrat di pentas PGL.
“Sebaik sahaja diberitahu bahawa saya akan menjadi watak Gusti Adipati Handaya Ningrat, Saya tahu sebenarnya saya menggalas tanggungjawab yang berat.
“Namun, rugi jika saya lepaskan kerana Ini adalah peluang seumur hidup saya. Ia ibarat melafazkan ‘akad’, saya tahu yang saya kena hidupkan watak ini dengan sebaik yang mungkin. Apa pun, saya kena puaskan hati sendiri terlebih dahulu, sebelum puaskan hati orang lain,” katanya.
Kata Yusof, melakonkan watak seorang pemerintah Majapahit diibaratkan sebagai mimpi yang menjadi kenyataan apatah lagi kepercayaan itu diberikan sendiri oleh Tiara.
“Tiara meletakkan kepercayaan kepada saya, apatah lagi Ini antara pementasan berprestij di Malaysia. Saya tahu disebabkan itu, jangkaan penonton akan menjadi terlalu tinggi sehingga memberi tekanan kepada saya.
“Apa pun ia berbalik kepada doa yang saya langitkan dulu. Dan sebelum orang luar tanya saya boleh atau tidak menggalas tanggungjawab ini, saya lebih dulu sudah bertanya kepada diri sendiri,” ujarnya.

MERANTAU KE SOLO, MENCARI ASAL GUSTI ADIPATI
Di sebalik usaha menghidupkan watak Gusti Adipati Handaya Ningrat, Yusof Hashim sebenarnya memendam sakit belakang gara-gara terlalu kerap meniru pergerakan pemerintah Majapahit itu.
Kerana itu, dia memandang tinggi Allahyarham Alex Komang yang baginya tiada tandingan dalam melahirkan watak berkenaan.
Kata Yusof, Gusti Adipati Handaya Ningrat bukan sekadar watak, sebaliknya karakter yang membawa elemen, konsep, pengaruh kerajaan Majapahit bersamanya.
“Jadi saya terbang ke Solo, Indonesia untuk mendapatkan bimbingan dua tenaga pengajar saya di sana. Di Solo itu, kehidupan tenang. Saya sempat mendalami budaya Kraton.
“Keberadaan saya berada di Solo lebih kurang dalam 10 hari. Di sana, saya berpeluang juga belajar tentang falsafah, gaya hidup, cara makan minum orang tempatan.
“Semuanya saya lakukan untuk hidupkan watak ini,” kata Yusof. Gusti Adipati Handaya Ningrat yang ditunjukkan adalah versi Yusof Hashim tanpa terbawa-bawa Alex Komang mahupun Datuk AC Mizal dalam lakonannya.
“Saya ada pembawakan sendiri dalam menghidupkan watak ini, tidak mahu terikut-ikut pelakon sebelumnya. Mungkin pendekatan saya lebih dekat dengan penonton zaman sekarang.
“Apa pun saya bersyukur kerana sudah diberi peluang besar ini. Saya akan lakukan yang terbaik dan hidupkan watak pemerintah Majapahit sebaik sebaik mungkin,” kongsinya.

SULTAN BERJIWA FIRAUN
Luqman mengakui, kerana terlalu mendalami watak Sultan Mahmud Shah, ada masanya dia terbawa-bawa ke dunia luar, tidak dapat membezakan lakonan dan realiti.
Namun sebagai pelakon dan juga kini pengarah, dia belajar cara untuk mengawal dirinya agar tidak masuk terlalu jauh ke dalam diri Sultan Mahmud Shah yang dihidupkan.
“Kadangkala saya terbawa-bawa watak Sultan Mahmud itu. Rasa seperti hendak melenting jika terima provokasi. Proses itu kadang-kadang, dari sudut emosi kita terlepas juga. Ada orang tercuit sikit, mata kita dah ‘jegil’ menandakan kita marah.
“Jadi, penting untuk saya bertenang, bermeditasi, lakukan latihan pernafasan di pagi hari. Rutin saya adalah setiap pagi harus bermula perlahan, tidak boleh ‘stress’. Kena cukup makan minum dan cukup tidur. Kalau saya tak suka bekerja dengan orang itu, saya akan jarakkan diri,” katanya.
Kata Luqman, penting untuk dia mendalami watak Sultan Mahmud Shah sebaik-baiknya kerana jangkaan penonton yang terlalu tinggi.
“Untuk menghidupkan Sultan Mahmud Shah, saya perlu ambil pendekatan spiritual, kukuhkan ‘pasak’ agar pergerakan menjadi kuat. jika tidak, hilanglah karisma seorang Sultan itu.
“Dari segi karakter, Sultan Mahmud Shah ini tidak berperikemanusiaan, agak mencabar kerana ia ibarat sultan namun berjiwa firaun. Kemenjadian watak ini adalah terletak kepada sejauh mana keyakinan rakyat terhadap diri beliau.
“Pandangan itu saya ambil kira sebelum susun strategi. Saya tarik penonton untuk menjadi sebahagian rakyat jelata. Bermaksud ada dialog yang dilontarkan kepada audiens dalam kisah PGL ini,” kongsinya.











