MELAKA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook melepaskan jawatan dalam Kabinet adalah sebahagian daripada sandiwara politik.
Beliau berkata, perkembangan itu sudah dijangkakan sejak Anthony mengumumkan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan, susulan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Anthony sepatutnya berpegang kepada keputusan yang diumumkan sendiri dan tidak menjadikan pendirian Perdana Menteri sebagai alasan untuk tidak meletakkan jawatan.
“Sejak bila dia umum itu, kita sudah tahu perkara ini. Mesti akan kata Perdana Menteri tidak bagi, padahal itulah sandiwara yang sedang berlaku.
“Bukan UMNO yang paksa dia tarik diri daripada kerajaan, bukan. Dua kali pengumuman dia buat. Jadi sebagai orang bermaruah, sepatutnya dia teruskan tindakan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas minum petang di Ayer Molek di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, sekiranya keputusan itu berlandaskan prinsip DAP, semua menteri dan timbalan menteri parti berkenaan juga sepatutnya mengambil tindakan sama.
“Bagi saya, respons yang Anthony buat itu bukan kehendak peribadi dia, tetapi saya kira ini prinsip parti dia, DAP.
“Jadi kalau prinsip parti dia, bukan setakat Loke yang patut letak jawatan, menteri-menteri dan timbalan menteri DAP dalam kerajaan juga mesti meletakkan jawatan,” katanya.
Bliau menyifatkan sebarang perubahan pendirian atau tindakan berpatah balik hanya menjejaskan imej dan maruah bukan sahaja pemimpin terlibat, malah DAP secara keseluruhan.
Katanya, keputusan yang diumumkan secara terbuka perlu disusuli tindakan konsisten dan tidak wajar berubah mengikut perkembangan politik semasa.
“Kalau buat pusingan-U lagi, itu sandiwara. Kali pertama kita boleh maafkan, tetapi sekarang sudah jelas.
“Jadi saya tidak nampak sebab untuk dia berpatah balik kerana perkara ini akan menjejaskan imej dan maruah bukan sahaja dia, tetapi seluruh DAP,” katanya. – UTUSAN











