KUALA LUMPUR: Kawasan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini yang menjadi lokasi tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu akan dikawal 24 jam termasuk menerusi kehadiran Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 19.
Penugasan anggota PGA itu adalah sebahagian daripada langkah keselamatan bagi memastikan kawasan kediaman berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri bagaimanapun berkata, penugasan itu merupakan prosedur rutin yang dilaksanakan di semua kediaman bekas Perdana Menteri.
“Memang kami menempatkan anggota di kawasan kediaman mereka sebagai langkah keselamatan. Perimeter kawalan keselamatan melibatkan kawasan persekitaran kediaman bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin sekiranya berlaku sebarang ancaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah beliau, kawalan kediaman Najib itu juga turut melibatkan anggota dari Jabatan Penjara.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes penyelewengan SRC International di rumah berkuatkuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu mengetepikan perintah Mahkamah sebelum ini yang menangguhkan kebenaran tahanan di rumah itu ekoran kekeliruan istilah ‘dilepaskan serta-merta’ dalam perintah terdahulu.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin mengetepikan perintah mahkamah pada 6 November lalu dan mengeluarkan perintah baharu membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Sementara itu, Utusan Malaysia dimaklumkan, seramai tiga anggota PGA akan ditempatkan untuk berkawal di kawasan persekitaran kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Satu sumber turut memaklumkan, setiap pergerakan Najib juga akan diiringi oleh Trup Tindakan Cepat (TTC), Jabatan Penjara termasuk perjalanan ke mahkamah dan ke Penjara Kajang sekiranya diperlukan.
“Segala peraturan, arahan serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkenaan hanya akan dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Penjara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, seramai 15 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul akan ditempatkan di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, penugasan berkenaan bertujuan mengawal keselamatan serta memastikan keadaan di sekitar kediaman itu sentiasa terkawal.
“Selain itu, pihak polis turut menasihatkan penyokong Datuk Seri Najib supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak berhimpun atau berkumpul di hadapan kediaman berkenaan.
“Ini kerana tindakan berkumpul boleh menyebabkan keadaan tidak terkawal, sekali gus berisiko menjejaskan pelaksanaan perintah tahanan rumah yang tertakluk kepada syarat tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, sekiranya penyokong bertindak di luar kawalan sehingga memasuki kawasan kediaman yang telah diwartakan sebagai penjara, keadaan itu boleh menyebabkan perintah tahanan rumah berkenaan terbatal.
“Perimeter dalam kediaman adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara manakala di luar adalah pihak polis,” katanya.
Sementara itu, syarat dan sekatan yang dikenakan terhadap Najib sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah dijangka diperincikan di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya akan menjawab semua soalan itu di Parlimen esok (hari ini)” katanya semalam.-UTUSAN.











