PETALING JAYA: Perintah penangguhan hukuman tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee berkata, pelaksanaan perintah tahanan rumah anak guamnya kekal sah dan boleh dikuatkuasa walaupun Jabatan Peguam Negara memutuskan pelaksanaan perintah berkenaan wajar ditangguhkan sementara.
Katanya, bagaimanapun pihak pembelaan kini sedang menilai tindakan seterusnya termasuk mencabar di mahkamah dan butiran lanjut mengenainya belum dapat didedahkan buat masa ini.
Beliau menjelaskan kekeliruan berhubung Dokumen Perintah Pelepasan atau Order of Discharge dalam kes penyelewengan SRC International merujuk kepada saman berjumlah RM50 juta yang telah pun dibayar oleh Najib.
“Pembayaran denda berkenaan perlu diikuti dengan pengeluaran perintah mahkamah bagi mengesahkan bayaran tersebut serta pelepasan daripada hukuman pemenjaraan ingkar bayar.
“Ini bagi membolehkan mahkamah mengesahkan kepada pihak Jabatan Penjara bahawa denda tersebut telah dibayar sepenuhnya selaras dengan syarat pengampunan bersyarat bagi tahanan di rumah.
“Discharge itu merujuk kepada pembayaran denda. Jadi, perkara itu tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara menafikan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib yang diputuskan Lembaga Pengampunan sebagai mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya langkah itu diambil bagi memastikan hak Najib terpelihara susulan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan pembebasannya.
Susulan pendirian itu, Najib yang sudah melunaskan denda sebanyak RM50 juta sebagai syarat menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah masih kekal di Penjara Kajang sehingga setakat ini.-UTUSAN.











