Air naik hampir satu meter, 16 mangsa diselamatkan bomba

Air naik hampir satu meter, 16 mangsa diselamatkan bomba

Anggota bomba membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap selepas beberapa rumah di Kampung Sethu, Sungai Bakap di Nibong Tebal, Pulau Pinang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas beberapa rumah di Kampung Sethu, Sungai Bakap di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi tadi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air naik ke paras kira-kira 0.91 meter dan mengakibatkan beberapa mangsa terperangkap di dalam rumah masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.40 tengah malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap tiba di lokasi 12 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah bot gentian kaca dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Memuatkan artikel berkaitan…

”Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat sebaik tiba di lokasi dan kesemua 16 mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada waris masing-masing yang turut berada di tempat kejadian.

”Pemeriksaan lanjut mendapati paras air beransur surut dan tiada lagi bahaya lain dikesan sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.30 pagi,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, katanya, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Lorong Jawi Jaya 1, Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi malam tadi dengan paras air dianggarkan setinggi 0.30 meter.

Sementara itu, katanya, satu kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di Kampung Changkat, Sungai Jawi pada pukul 1.10 pagi tadi dan kejadian itu menyebabkan sebahagian kecil garaj sebuah rumah rosak selepas dihempap pokok berkenaan, selain sebuah kereta jenis Perodua Bezza turut dihempap.

”Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok sebelum lokasi diserahkan kepada pemilik rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini