Liverpool lemah situasi bola mati

Liverpool lemah situasi bola mati

VIRGIL Van Dijk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk mengakui kelemahan benteng pertahanan The Reds dalam situasi bola mati perlu diatasi segera bagi mengelak kekalahan berulang.

Dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah kelmarin, Liverpool yang mendahului 2-1 pada babak kedua di Istanbul akhirnya terpaksa akur tewas 2-3 kepada wakil Turkiye itu, dengan ketiga-tiga gol Fenerbahce berpunca daripada situasi bola mati.

Skuad kendalian Andoni Iraola turut dibolosi tiga gol ketika berdepan Villarreal dan Lask dalam saingan Liga Juara-Juara, sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun Liverpool berjaya menewaskan Villarreal dan Lask, mereka kini mencatat rekod kali pertama bolos sekurang-kurangnya tiga gol dalam tiga aksi berturut-turut di pentas Eropah.

“Ia sememangnya tidak boleh dibiarkan berterusan. Sebab itu malam ini cukup mengecewakan atas pelbagai faktor, terutama gol yang kami bolos dan cara kami melepaskannya.

“Masih banyak perkara perlu diperbaiki, kami bolos menerusi tiga situasi bola mati. Sebelum ini, kami cukup bagus dalam aspek berkenaan sepanjang musim ini, tetapi kali ini kami hilang tumpuan dan tidak bersedia menghadapi bola pertama serta kedua. Kekalahan ini memang sukar diterima,” kata Van Dijk.

Ditanya sama ada keputusan itu menimbulkan kemarahan, pertahanan Belanda itu berkata, beliau tidak menunjukkannya kerana semua pemain jelas kecewa dengan keputusan berkenaan.

“Ya, tetapi saya tidak menunjukkannya kerana semua orang kelihatan kecewa dan mereka memang ada sebab untuk berasa begitu. Mereka sepatutnya kecewa.

“Kami tidak boleh tewas dengan cara seperti ini. Namun, itulah yang berlaku dan Fenerbahce juga wajar diberikan kredit,” katanya.

Selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut, Liverpool kini mengalami kekalahan berturut-turut buat kali pertama di bawah kendalian Iraola.

Bagaimanapun, Van Dijk percaya pengalaman berdepan detik sukar itu mampu mengukuhkan lagi hubungan dalam kalangan pemain dan memberi manfaat kepada pasukan pada masa depan.

“Selepas perlawanan terakhir menentang Arsenal, saya menyatakan bahawa sebagai satu kumpulan, kami perlu melalui saat gemilang dan juga detik sukar bersama-sama.

“Pengalaman itu hanya akan mengeratkan lagi hubungan kami dan memberi manfaat kepada pasukan. Tiada siapa mahu tewas dalam perlawanan, apatah lagi dengan cara seperti ini, tetapi pengalaman ini sepatutnya membantu kami dalam masa terdekat.

“Kami tidak sepatutnya menerima kekalahan, terutama apabila tewas dengan cara seperti ini,” katanya.

Liverpool yang terus pulang ke England dari Istanbul selepas perlawanan itu kini mengalihkan perhatian kepada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace, hujung minggu ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini