GURU-GURU sekalian,
Anda bukan sekadar tenaga pengajar tetapi juga sinar harapan, pembentuk impian anak bangsa dan pembimbing generasi yang diamanahkan kepada kita.
Setiap ilmu yang disampaikan dengan ikhlas, kata-kata semangat yang diberikan serta kesulitan pelajar yang dibantu akan meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah ketika pembelajaran berlangsung secara dalam talian.
Cabaran dunia pendidikan pasti ada. Namun, setiap kesulitan membuka ruang untuk berkembang, berinovasi dan membawa perubahan yang bermakna. Sebagai pendidik, kitalah yang memainkan peranan penting dalam menjayakan perubahan tersebut.
Untuk menjadi pemangkin kemajuan pendidikan, kita perlu terlebih dahulu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Bagaimana mungkin kita mampu menyemai rasa ingin tahu dalam diri pelajar jika kita sendiri berhenti menimba ilmu?
Perubahan sebenar bukan sekadar memikirkan idea baharu tetapi turut memerlukan keberanian untuk melaksanakannya. Apabila guru menunjukkan kesungguhan mencari ilmu, pelajar akan terdorong untuk mencontohi sikap tersebut.
Peranan guru hari ini semakin berkembang. Kita bukan lagi sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya turut membentuk pemikiran kritis, memudah cara komunikasi, membimbing penggunaan teknologi digital dan membina sahsiah pelajar.
Bilik darjah pada 2027 juga semakin pelbagai. Ada pelajar mengikuti pembelajaran secara bersemuka, manakala sebahagian yang lain terpaksa belajar dari rumah akibat jerebu. Tahap penguasaan mereka juga berbeza-beza. Ada yang cepat memahami pelajaran, sementara sebahagian lagi memerlukan bimbingan tambahan.
Oleh itu, pendekatan pendidikan tidak boleh diseragamkan. Guru perlu lebih fleksibel, kreatif dan bijaksana dalam menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keperluan pelajar.
Pelajar mungkin terlupa sebahagian perkara yang diajar tetapi mereka akan mengingati cara guru membimbing dan melayani mereka.
Mereka memerhatikan tutur kata, tindakan ketika menghadapi tekanan, hubungan dengan rakan setugas serta keadilan dalam membuat keputusan.
Guru yang tekun menimba ilmu, berempati dan berpegang pada etika sedang mengajar sesuatu yang lebih besar daripada kandungan silibus, iaitu nilai peribadi dan integriti.
Fenomena jerebu sekali lagi memperlihatkan kepentingan penguasaan teknologi dalam memastikan pembelajaran tidak terhenti. Kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai platform digital kini menjadi keperluan yang perlu dimanfaatkan secara bijaksana.
Gunakan kemudahan ini untuk menyesuaikan pembelajaran dengan keperluan pelajar, menjadikan kelas dalam talian lebih interaktif serta memperluas akses kepada ilmu. Pada masa sama, bimbing mereka agar menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.
Kita perlu membina persekitaran pembelajaran yang tidak menganggap kegagalan sebagai sesuatu yang memalukan. Sebaliknya, pelajar perlu memahami kesilapan ialah sebahagian daripada proses untuk memperbaiki diri. Inilah asas minda berkembang, iaitu keyakinan bahawa kebolehan dapat dipertingkat melalui usaha dan ketekunan.
Namun, pencapaian akademik sahaja tidak menjamin perkembangan pelajar secara menyeluruh. Perubahan memerlukan keberanian untuk menyuarakan pandangan, menilai semula amalan lama yang tidak lagi sesuai serta memperkenalkan pendekatan baharu demi kepentingan anak didik. Namun, usaha ini tidak boleh digalas secara bersendirian.
Kejayaan memerlukan semangat kebersamaan melalui perkongsian amalan terbaik, sokongan antara rakan pendidik dan kesediaan meraikan pencapaian bersama. –UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor











