Nyawa bukan korban rasa marah

Nyawa bukan korban rasa marah

KAWAL rasa marah dan hentikan keganasan demi melindungi nyawa sendiri dan orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETAPA mudahnya manusia menyakiti sesama sendiri apabila rasa marah mengatasi pertimbangan dan kebencian menghapuskan rasa belas kasihan.

Perselisihan kecil boleh mencetuskan pergaduhan, gurauan melampau bertukar menjadi penderaan, manakala kecuaian di jalan raya boleh meragut nyawa.

Setiap kehilangan bukan sahaja melibatkan mangsa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga. Ada ibu kehilangan anak, pasangan hidup tanpa teman dan anak-anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih membimbangkan apabila kekerasan dianggap sebagai cara menunjukkan kuasa. Perbuatan membuli disifatkan sebagai gurauan, pukulan dianggap sebagai pengajaran, manakala ugutan digunakan untuk mendapatkan penghormatan. Hakikatnya, ketakutan tidak melahirkan rasa hormat dan kekerasan bukan lambang kekuatan.

Pendidikan tentang nilai nyawa perlu bermula dari rumah. Ibu bapa mesti menunjukkan teladan dalam mengawal emosi dan menyelesaikan perselisihan tanpa tengkingan, penghinaan atau kekerasan.

Sekolah pula perlu membentuk keberanian moral murid supaya mereka berani menolak perbuatan membuli, membantu rakan terancam dan melaporkan keganasan melalui saluran yang disediakan.

Masyarakat juga tidak boleh sekadar menjadi pemerhati apabila berlaku kecemasan. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha mendapatkan bantuan dan menyelamatkan mangsa, bukannya sibuk merakam serta menyebarkan kejadian sehingga mengabaikan maruah individu terbabit.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara tegas, telus dan konsisten. Setiap aduan berkaitan ancaman keselamatan wajar diberikan perhatian segera agar langkah perlindungan dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Pendidikan mengawal kemarahan, kemahiran menyelesaikan konflik dan khidmat kaunseling juga perlu diperkukuh kerana hukuman semata-mata tidak mencukupi.

Dalam Islam, nyawa ialah amanah Allah yang wajib dipelihara. Kesedaran ini perlu diterjemahkan melalui tindakan, termasuk menahan diri daripada memukul, mengugut atau melakukan sesuatu yang membahayakan orang lain.

Kemajuan negara tidak bermakna jika rakyat masih hidup dalam ketakutan. Nyawa tidak mempunyai gantian, malah wang pampasan tidak mampu mengembalikan insan tersayang. –UTUSAN

MINHAT DAUD
Parit Sulong,
Batu Pahat,
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini