Lebarkan jalan ke Lembah Kiol

Lebarkan jalan ke Lembah Kiol

JALAN ke Lembah Kiol perlu dinaik taraf demi keselamatan penduduk dan keselesaan pengunjung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBAH Kiol di Jerantut, Pahang menjadi antara lokasi riadah pilihan penduduk setempat dan pengunjung dari luar daerah.

Aliran sungainya yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda menjadikan kawasan ini tumpuan keluarga, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Pengunjung juga boleh menikmati kesejukan air terjun Lata Meraung sambil meluangkan masa bersama keluarga.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, beberapa kemudahan asas seperti surau, tandas dan meja rehat turut disediakan. Kawasan parkir yang luas juga memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan ketika berkunjung ke lokasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain menjadi destinasi rekreasi, kawasan ini turut menempatkan perkampungan Orang Asli Sungai Kiol serta kemudahan pendidikan seperti sekolah kebangsaan dan tadika.

Jalan masuk ke kawasan tersebut merupakan laluan utama penduduk kampung dan guru yang berulang-alik setiap hari. Namun begitu, keadaan jalan raya perlu mendapat perhatian serius pihak berwajib. Permukaan jalan yang berlubang memerlukan kerja penurapan semula kerana boleh membahayakan pengguna, terutama ketika hujan apabila lubang sukar dilihat.

Lebar jalan juga perlu ditambah atau bahagian tepinya ditambun dengan batu bagi memudahkan kenderaan berselisih dengan selamat.

Pada masa sama, semak samun di kiri dan kanan laluan wajar dibersihkan kerana boleh menghalang penglihatan pemandu, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

Justeru, penambahbaikan infrastruktur jalan ke Lembah Kiol amat diperlukan demi keselamatan penduduk, guru dan pengunjung. Pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, juga perlu sentiasa berhati-hati serta mengamalkan pemanduan dan tunggangan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. –UTUSAN

MANOLITO
Jerantut, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini