SHAH ALAM: Audit menyeluruh terhadap keberkesanan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri ini perlu dilakukan susulan kejadian banjir berulang di Sungai Buloh dan Shah Alam dalam tempoh kurang 48 jam.
Penilaian perlu dilakukan terhadap infrastruktur selain mempercepat sebarang projek yang tertangguh dan menunjukkan status pelaksanaan secara telus di seluruh kawasan termasuk di luar bandar yang kerap dilanda ‘banjir termenung’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, Selangor mempunyai sumber kewangan serta keupayaan yang besar dan rakyat berhak melihat hasil yang nyata bukan sekadar pengumuman peruntukan setiap kali bencana berlaku.
Katanya, banjir teruk yang melanda Kampung Melayu Subang, Shah Alam, TTDI Jaya dan kawasan sekitarnya sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan projek tebatan banjir di Selangor.
“Hujan lebat mungkin di luar kawalan manusia, tetapi perancangan, penyelenggaraan saliran, kesiapsiagaan dan pelaksanaan projek tebatan banjir adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM700 juta dipercepatkan.
“Namun, rakyat berhak mengetahui garis masa pelaksanaan, status sebenar projek serta langkah segera bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang itu turut mengingatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berulang kali menzahirkan kebimbangan terhadap isu tersebut.
“Dalam titah pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu, baginda menegur kelewatan penyelesaian masalah banjir malah mengibaratkan nasihat yang tidak diberikan perhatian sewajarnya seperti ‘mencurah air ke daun keladi.’
“Apabila baginda sendiri berulang kali bertitah dan wakil rakyat terus membangkitkan perkara yang sama dalam dewan. Persoalannya, di manakah keberkesanan tindakan dan penyelesaian yang dijanjikan?” soalnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau juga mengarahkan pembinaan kolam tadahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu projek jangka panjang itu disiapkan.
Tegas Nurul Syazwani, titah Sultan Sharafuddin perlu dijunjung dengan tindakan, soalan dan teguran dalam Dewan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian. –UTUSAN











