BPlant: Peluang LTAT kurangkan hutang, lindungi pencarum

BPlant: Peluang LTAT kurangkan hutang, lindungi pencarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan Boustead Plantations Berhad (BPlant) perlu menjadi langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), khususnya dalam mengurangkan beban hutang dan memastikan kepentingan pencarum terus terpelihara.

Proses pemilihan pembeli oleh lembaga pengarah LTAT ketika ini bukan sekadar berkisar kepada harga tawaran tertinggi, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan kewangan pembeli, kepastian pembayaran serta potensi pembangunan aset perladangan berkenaan selepas transaksi selesai.

Ini kerana hasil penjualan yang besar tidak semestinya membawa manfaat optimum sekiranya LTAT kehilangan sumber pendapatan berulang tanpa memperoleh penjimatan kos pembiayaan yang setimpal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 2023, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menawarkan RM1.55 sesaham untuk mengambil alih pegangan 33 peratus dan satu saham BPlant daripada Boustead Holdings Berhad (BHB), dengan nilai transaksi kira-kira RM1.15 bilion.

Tawaran itu meletakkan nilai keseluruhan ekuiti BPlant sekitar RM3.47 bilion dan dilihat berpotensi membawa manfaat kepada Boustead melalui suntikan tunai serta sokongan kepakaran KLK dalam industri perladangan.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan mencetuskan bantahan susulan isu pemindahan kawalan kepada syarikat bukan bumiputera, sebelum perjanjian tersebut ditamatkan pada Oktober 2023.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyediakan jaminan pinjaman RM2 bilion bagi membolehkan LTAT mengambil alih BPlant sendiri dan mengekalkan kawalan terhadap aset strategik berkenaan.

Keputusan itu memberikan ruang kepada LTAT menentukan hala tuju BPlant, namun tanggungjawab pembiayaan yang menyusul turut menambah tekanan terhadap kedudukan kewangan dana berkenaan.

Cabaran LTAT sebenarnya telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu susulan kemerosotan prestasi Boustead, yang menyaksikan sumbangan pendapatannya merosot sebelum pandemik Covid-19 dan tiada dividen diterima daripada kumpulan itu sepanjang 2019 hingga 2021.

Tekanan turut berpunca daripada rosot nilai projek kapal tempur pesisir (LCS), kos hutang yang tinggi serta masalah operasi, manakala Pharmaniaga Berhad mencatatkan rosot nilai inventori vaksin Covid-19 sebanyak RM552.3 juta bagi 2022 sebelum diklasifikasikan sebagai PN17 pada Februari 2023.

Penyata kewangan LTAT bagi 2024 menunjukkan pinjaman dana itu berjumlah RM2.133 bilion, termasuk prinsipal kemudahan kredit berjaminan kerajaan sebanyak RM1.9 bilion pada kadar KLIBOR tambah 0.29 peratus setahun.

Kos kewangan LTAT sendiri meningkat daripada RM8.24 juta pada 2023 kepada RM75.27 juta pada 2024, sekali gus mengurangkan pendapatan bersih yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong pulangan kepada pencarum.

Justeru, penjualan BPlant perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan tanggungan pembiayaan tersebut. 

Sebagai gambaran, sekiranya LTAT menerima hasil tunai RM2.5 bilion dan menggunakan RM1.9 bilion untuk melunaskan prinsipal pinjaman, baki kasar RM600 juta boleh dipertimbangkan bagi tujuan lain selepas mengambil kira kos transaksi dan pelarasan berkaitan.

Bagaimanapun, pengiraan itu hanya ilustrasi berdasarkan baki prinsipal pinjaman pada 2024 dan bukannya gambaran harga jualan sebenar atau jumlah hutang semasa. Penilaian menyeluruh perlu dibuat bagi menentukan manfaat bersih transaksi kepada LTAT.

Pada masa sama, LTAT perlu mengambil kira kehilangan potensi pendapatan masa depan daripada BPlant. Penjimatan kos faedah hasil pembayaran hutang perlu dibandingkan dengan pendapatan dividen dan pulangan yang mungkin dilepaskan susulan penjualan aset berkenaan.

Keupayaan LTAT mengekalkan pembayaran dividen turut menjadi perhatian kerana dana itu mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus bagi 2025 dengan jumlah agihan RM524.74 juta, manakala jangkaan pengurusan sekitar lima peratus bagi 2026 masih belum menjadi pengisytiharan muktamad.

Oleh itu, pemilihan pembeli BPlant perlu berlandaskan ketelusan, keupayaan kewangan dan komitmen pembangunan jangka panjang, selain memastikan hasil penjualan digunakan secara berdisiplin untuk mengukuhkan kunci kira-kira LTAT.

Akhirnya, kejayaan transaksi ini tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai jualan semata-mata, tetapi sejauh mana ia mampu mengurangkan hutang, memperkukuh sumber pendapatan dan memastikan LTAT terus berupaya memberikan pulangan mampan kepada anggota tentera yang bergantung pada simpanan itu untuk kehidupan selepas persaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini