LTAT agih dividen RM524.75 juta, tertinggi dalam tempoh lapan tahun

LTAT agih dividen RM524.75 juta, tertinggi dalam tempoh lapan tahun

MOHAMED Khaled Nordin diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (dua, kiri) dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi (kanan) pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT di Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi 2025 iaitu tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Jumlah agihan itu melibatkan RM524.75 juta iaitu melebihi RM10.55 juta berbanding 2024 dan menjadikan ia jumlah agihan dividen tertinggi sejak 2018.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil walaupun berdepan cabaran ekonomi global apabila merekodkan jumlah pendapatan boleh diagihkan sebanyak RM541.5 juta dan jumlah pendapatan pelaburan RM749.5 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, dana rizab LTAT turut menunjukkan pe­ningkatan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.0 bilion tahun sebelum­nya sekali gus mencerminkan kedudukan kewa­ngan lembaga itu yang makin diperkukuh demi kepentingan pencarum.

“Kejayaan transformasi LTAT tahun ini membolehkan kita mengumumkan kadar dividen yang mampan dan lebih kompetitif.

“Ia bukan sahaja simbol kestabilan dan keyakinan terha­dap hala tuju LTAT, tetapi ia ju­ga bukti bahawa setiap usaha transformasi yang dijalankan bertujuan untuk memberikan impak yang langsung dan nyata kepada pencarum.

“Saya amat yakin pengumuman ini membawa berita gembira kepada semua penca­rum, sekali gus memperkukuh keyakinan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Majlis Pengumuman Dividen LTAT di Royale Chulan, di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, LTAT terus memperkukuh port­folio pelaburannya dengan se­tiap pelaburan diteliti dengan rapi, kelemahan dibaiki dan tadbir urus syarikat-syarikat diperkukuh.

“Contohnya, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menca­tatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.7 juta bagi suku keempat 2025, satu peningkatan daripada RM2.4 juta pada tahun sebelumnya, menandakan suku kelapan berturut-turut mencatatkan keuntungan.

“Alhamdulillah, saya turut dimaklumkan bahawa Pharmaniaga kini berada di landasan yang baik untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan keberkesanan usa­­ha pemulihan dan pemantauan LTAT.

“Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada LTAT dan Pharmaniaga atas pencapaian gemilang ini.

“Saya percaya LTAT sedang melaksanakan transformasi merentasi syarikat-syarikat ba­gi memperkukuh prestasi, me­ning­­katkan daya saing serta mencipta nilai yang lebih besar kepada pencarum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN