KUALA LUMPUR: Pelan penstrukturan semula pada 2018 adalah bagi menangani kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang memerlukan tindakan penyelamatan kewangan (bailout) segera.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melaporkan, pihak berkuasa seperti Ketua Audit Negara telah menegur amalan perakaunan yang tidak memberi gambaran kewangan sebenar dan bersimpang daripada Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).
Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan aset TH yang lebih rendah berbanding liabiliti dan agihan keuntungan yang tinggi.
Jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada 2017 terus meningkat pada 2018 sehingga mencecah lebih daripada RM10 bilion.
Sekiranya tidak ditangani sebelum akhir tahun 2018, TH berkemungkinan besar tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang agihan keuntungan.
Pelan pemulihan memerlukan TH menjual aset kurang daya saing dan bermasalah kepada syarikat bertujuan khas (SPV) milik kerajaan 100 peratus pada nilai premium bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya (solven).
Aset-aset tersebut digantikan dengan sukuk terbitan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang mendapat komitmen daripada kerajaan untuk dilangsaikan bersama keuntungan antara 4.05 hingga 4.10 peratus setahun.
Jelas, langkah ini telah membuahkan hasil sehingga TH telah dapat memulihkan keadaan di mana agihan keuntungan terus meningkat 3.1 peratus pada 2023, 3.25 peratus (2024) dan 3.5 peratus (2025) serta pada masa sama mematuhi akta.
Pada masa sama, setelah meneliti aset-aset yang ditawarkan oleh UJSB, TH telah membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga lebih murah RM270 juta berbanding harga penjualan asal RM400 juta.
TH juga telah membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.
Ini membuktikan TH hanya mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan. – UTUSAN










