Eala mahu tutup tirai musim dengan bergaya

Eala mahu tutup tirai musim dengan bergaya

Pemain tenis Filipina, Alexandra Eala melakukan pukulan balas ketika menentang wakil Rusia, Diana Shnaider pada aksi suku akhir kejohanan tenis Terbuka Pan Pacific WTA di Ariake Coliseum, Tokyo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pemain tenis sensasi Filipina, Alexandra Eala memilih untuk menangguhkan penilaian terhadap pencapaian musim ini apabila masih mempunyai satu kejohanan terakhir untuk memburu penutup gemilang di Hong Kong minggu depan.

Keputusan itu hadir selepas pemain ranking ke-19 dunia berkenaan terkandas di suku akhir Terbuka Pan Pacific di Tokyo, Jepun, apabila tewas kepada pilihan ketiga, Diana Shnaider dari Rusia 2-6, 7-6 (7/5), 6-4, pada Jumaat lalu.

Pemain berusia 21 tahun berkenaan bagaimanapun tidak mahu kekalahan itu menjejaskan semangatnya menjelang aksi terakhir musim ini, terutama selepas mencipta sejarah sebagai pemain pertama Filipina memenangi gelaran Jelajah WTA menerusi kejayaan di Washington pada Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat teruja dan akan memasuki kejohanan itu dengan motivasi yang tinggi.

“Saya cuba menangguhkan dahulu segala penilaian dan refleksi mengenai musim ini untuk seminggu lagi kerana mahu mengekalkan motivasi tersebut. Tanya saya semula selepas seminggu,” katanya.

Dalam aksi menentang Shnaider, Eala bermula baik dengan memenangi lima permainan berturut-turut untuk menguasai set pertama, namun gagal mengekalkan momentum apabila lawannya mengikat kedudukan menerusi kemenangan tie-break set kedua.

Shnaider kemudian memperoleh kelebihan satu break pada awal set penentuan sebelum menamatkan cabaran Eala dengan ace, biarpun pemain Filipina itu sempat menerima rawatan pada kaki kanannya.

Eala menyifatkan pertemuan itu sebagai pertarungan sengit dan mengakui masih mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan, namun berharap dapat mengendalikan detik penting dengan lebih baik pada masa akan datang. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini