PETALING JAYA: Industri pembinaan negara menyasarkan pengurangan hampir separuh daripada kira-kira 600,000 pekerja asing menjelang 2030 menerusi penggunaan teknologi digital, automasi dan robotik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sr. Ahmad Farrin Mokhtar berkata, industri itu menyasarkan pengurangan 10 peratus pekerja asing setiap tahun selaras dengan hala tuju di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, penggunaan teknologi menjadi antara pendekatan utama untuk mencapai sasaran berkenaan memandangkan pekerja tempatan sukar menggantikan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan.
“Tiada jalan lain selain kita bergerak ke hadapan dan melabur dalam teknologi, termasuk pendigitalan. Kita tidak boleh terus bergantung kepada pekerja asing.
“Jika mahu mengurangkan jumlah pekerja asing, kita tidak boleh mengharapkan pekerja tempatan menggantikan mereka sepenuhnya. Oleh itu, satu-satunya cara adalah menggunakan teknologi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Meja Bulat dan Forum Teknologi Pembinaan Moden 2026 di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan robotik, sensor, dron dan sistem pemantauan jarak jauh perlu diperluaskan bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja dalam pelbagai proses pembinaan, selain meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi.
Menurutnya, industri pembinaan Malaysia masih ketinggalan berbanding negara seperti China dalam penggunaan teknologi moden, termasuk Internet Pelbagai Benda (IoT), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan robotik.
“Penerapan teknologi berkenaan dapat membantu industri beralih daripada kaedah kerja manual kepada sistem yang lebih automatik, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja yang banyak di tapak pembinaan.
“Bagaimanapun, kos pelaburan teknologi yang tinggi menjadi antara cabaran utama untuk mempercepatkan proses pendigitalan, terutama apabila tenaga kerja murah masih tersedia dalam industri.
“Selagi tenaga kerja murah masih tersedia, usaha mendorong penggunaan teknologi akan bergerak perlahan. Kita perlu melabur dalam teknologi, walaupun kosnya tinggi pada peringkat awal.
“Namun, apabila teknologi semakin berkembang, kosnya akan menjadi lebih rendah dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Construction and Built Environment Productivity Nexus (COBEPN), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Seri Dr. Michael K.C. Yam berkata, usaha meningkatkan produktiviti industri pembinaan memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pemaju, perunding, kontraktor dan pihak berkepentingan lain.
Beliau berkata, penggunaan mekanisasi dan teknologi dalam projek pembinaan boleh meningkatkan kos awal antara lima hingga 15 peratus berbanding kaedah konvensional, justeru pelanggan perlu bersedia menerima pelaburan lebih tinggi demi manfaat jangka panjang.
“Pelaburan itu berpotensi meningkatkan kualiti pembinaan, mengurangkan kerja semula dan memastikan projek disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, selain membantu mengurangkan kos operasi sepanjang tempoh penggunaan bangunan.
“Jika projek bernilai RM100 juta memerlukan tambahan kos sehingga 15 peratus, jumlahnya boleh meningkat kepada RM115 juta. Persoalannya, adakah pelanggan bersedia membayar lebih untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti?” katanya.
Tambahnya, peralihan kepada kaedah pembinaan moden turut memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal untuk mengendalikan peralatan serta sistem digital.
“Walaupun pendigitalan mengurangkan keperluan terhadap sesetengah pekerjaan separa mahir dan tidak mahir, industri masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran seperti pengendali kren, pengendali forklift, juruukur dan jurutera.
“Pembangunan kemahiran itu perlu bergerak seiring dengan penerapan teknologi supaya industri pembinaan dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN











