Hadkan kemasukan baharu pekerja asing

Hadkan kemasukan baharu pekerja asing

PENGLIBATAN ketara warga asing dalam sektor perniagaan serta keusahawanan memberi saingan kepada peniaga dan usahawan tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA memang terdapat keperluan mendesak kepada pekerja asing dimohon agar pastikan pekerja yang bakal dibawa masuk benar-benar bekerja di sektor pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar (3D) sahaja.

Sekarang ini ramai pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal didapati bekerja di luar sektor 3D termasuk di barisan hadapan di stesen minyak, kedai serbaneka, pasaraya, perkhidmatan hotel dan katering contohnya sebagai sebagai juruwang, pelayan, penyusun barang, dan lain-lain yang sepatutnya diisi pekerja tempatan.

Mungkin peraturan seperti yang pernah dibuat pada 2014 dahulu iaitu tidak membenarkan warga asing diambil bekerja di restoran makanan segera boleh diperluas ke sektor lain supaya pergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan beransur-ansur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 447 oleh majikan perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum membawa masuk pekerja asing kerana selama ini tidak semua pekerja asing ditempatkan di kuarters pekerja berpusat (CLQ) sebaliknya ramai yang tinggal menyewa sendiri di penempatan yang sama dengan penduduk tempatan termasuk flat Program Perumahan Rakyat (PPR) dan jika di Kuala Lumpur pula pekerja asing menyewa di flat-flat usang di tengah bandaraya sehingga memberikan imej tidak baik dalam isu kebersihan dan masalah sosial serta identiti asal ibu negara.

Penglibatan ketara warga asing Bangladesh dalam sektor perniagaan serta keusahawanan sehingga memberi saingan kepada peniaga dan usahawan tempatan yang sudah terhimpit dengan aktiviti peniaga e-dagang dari luar negara.

Seperti yang kerap dilaporkan pihak media dan ditularkan oleh aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam, warga Bangladesh didapati membuka pelbagai jenis perniagaan di bandar-bandar utama dan dikesan terlibat dalam aktiviti pertanian sebagai usahawan tani dengan mengusahakan sendiri kebun sayur bersama-sama warga Indonesia dan Myanmar serta berniaga di pasar borong dan pasar tani.

Tidak kurang juga yang mampu membuka syarikat kontraktor. Meskipun pihak Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada membuat operasi tetapi ia tidak berkurang.

Fenomena ini berlaku kerana sikap segelintir rakyat tempatan yang sanggup menjadi rakan kongsi senyap di dalam syarikat milik warga asing ini serta mudahnya lelaki warga asing berniaga dengan cara mengahwini wanita tempatan terlebih dahulu.

Pengambilan baharu dalam jumlah sehingga beratus ribu pekerja hanya memburukkan keadaan kerana seolah-olah kita membawa masuk bakal majikan suatu hari nanti.

Jabatan Imigresen diharap dapat mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan warga asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak begitu mudah dibenarkan berkahwin dengan rakyat Malaysia untuk berniaga dan memohon status taraf penduduk tetap (PR).

Pengenalan undang-undang Anti Ali-Baba serta larangan warga asing menyewa tanah milik rakyat tempatan diharap dapat mengekang penguasaan warga asing dalam sektor perniagaan dan pertanian.

Isu kebanjiran pekerja asing yang sudah berlarutan berpuluh tahun bukan lagi setakat memberi persaingan tidak sihat kepada pekerja tempatan di sektor pekerjaan bukan 3D tetapi juga mengancam periuk nasi rakyat Malaysia yang benar-benar terlibat dalam perniagaan sebagai sumber mata pencarian. – UTUSAN

Rakyat Ambil Tahu
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini