RIYADH: Serangan maut Houthi ke atas lapangan terbang utama Riyadh mencetuskan amaran tindak balas daripada Arab Saudi, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayangkan kemungkinan menyertai serangan terhadap kumpulan itu dan melancarkan semula serangan ke atas Iran.
Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi memaklumkan 12 orang terbunuh, termasuk rakyat AS manakala 309 lagi cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, pada Sabtu menjadikannya serangan paling dahsyat di negara itu sejak pengeboman sebuah masjid pada 2015 di Qatif, wilayah timur negara berkenaan.
Menurut pihak berkuasa penerbangan Arab Saudi, selain warga AS, mangsa yang terbunuh terdiri daripada empat warga Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing rakyat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi menyalahkan kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran susulan serangan itu, menyifatkannya sebagai jenayah perang dan berikrar memberikan tindak balas tegas tanpa memperincikan tindakan yang akan diambil.
Beberapa jam kemudian, gabungan itu melaporkan satu objek yang dipercayai peluru atau projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, timur Arab Saudi.
Trump pada mulanya berkata, Washington mungkin menyertai Riyadh melancarkan serangan terhadap Houthi dan menyambung semula serangan ke atas Iran. Namun, apabila ditanya kemudian sama ada Arab Saudi mampu mempertahankan diri daripada kumpulan itu, beliau memuji keupayaan negara berkenaan.
“Mereka mampu mempertahankan diri. Rakyat Arab Saudi ialah pejuang yang baik. Tetapi saya fikir serangan itu sesuatu yang amat buruk,” katanya.
Kemungkinan AS melancarkan semula serangan ke atas Iran turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan Trump ketika berucap di Tennessee pada Sabtu. Beliau menuduh pemimpin Iran mungkin cuba menjejaskannya dari segi politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November.
“Mereka mungkin akan melakukan sedikit lagi tindakan sebelum pilihan raya kerana menyangka ia akan menjejaskan kami, tetapi kami boleh menamatkannya dengan sangat cepat. Mereka tidak tahu betapa baiknya layanan saya terhadap mereka,” katanya.
Trump menyifatkan Iran sebagai ‘negara gila’ dan memperlekehkan pemimpinnya kerana berulang kali mengancam untuk membunuh musuh mereka.
Duta AS ke Israel, Mike Huckabee secara lebih langsung mengaitkan serangan di Arab Saudi dengan Teheran, menegaskan sokongan Iran perlu dibendung bagi menghentikan Houthi.
Beliau menyifatkan konfrontasi Washington dengan Teheran sebagai usaha menyekat kumpulan yang disokong Iran, termasuk Houthi, Hamas dan Hizbullah.
“Mengapa Houthi mampu melakukan semua ini? Kerana mereka dibiayai, diperkasakan dan dilatih oleh Iran. Membendung rejim Iran ialah satu-satunya cara untuk menghentikan sebahagian daripada pencerobohan yang kita saksikan melalui kumpulan proksi mereka,” kata Huckabee kepada Newsmax.
Huckabee turut berhujah, tekanan ketenteraan dan ekonomi di bawah pentadbiran Trump meletakkan Iran pada kedudukan paling lemah sejak 1979.
Bekas Perdana Menteri Qatar, Hamad bin Jassim Al Thani menggesa negara-negara Teluk Parsi bersatu menyokong Arab Saudi dalam menghadapi ancaman yang menurutnya berpunca dari Yemen tetapi diarahkan dari luar negara.
“Kini jelas bahawa Iran ialah musuh utama kita,” tulisnya di platform X.
Kenyataan itu menandakan perubahan ketara daripada pendiriannya pada 2023, apabila beliau menyokong rundingan dengan Teheran dan menentang konfrontasi.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menegaskan komitmen Islamabad terhadap keselamatan Arab Saudi dengan merujuk kepada perjanjian pertahanan bersama antara kedua-dua negara.
“Selaras dengan Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah serta ikatan persaudaraan yang berkekalan antara kedua-dua negara, kami menegaskan semula komitmen teguh terhadap kedaulatan, keutuhan wilayah dan keselamatan Arab Saudi,” katanya.











