PETALING JAYA: Peruntukan Belanjawan 2027 bagi mitigasi banjir, bantuan insurans pekerja gig dan insentif teknologi hijau mampu memperkukuh perlindungan kewangan rakyat serta meningkatkan daya tahan negara terhadap risiko bencana dan perubahan iklim.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, pelaburan dalam langkah pencegahan dan perlindungan kewangan penting bagi mengurangkan kesan kerugian terhadap isi rumah serta perniagaan.
Beliau berkata, peruntukan RM100 juta bagi pembinaan kolam takungan banjir dan penyelenggaraan sungai merupakan langkah positif dalam mengurangkan impak bencana berkenaan.
“Usaha meningkatkan daya tahan negara terhadap banjir perlu merangkumi pembangunan infrastruktur fizikal yang lebih baik serta perlindungan insurans mencukupi bagi membantu rakyat dan perniagaan pulih daripada kerugian.
“Mitigasi banjir yang lebih baik dapat mengurangkan skala kerugian, manakala perlindungan insurans yang mencukupi membantu isi rumah dan perniagaan pulih apabila kerugian berlaku,” katanya daam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperluas akses kepada insurans asas pada kadar berpatutan perlu diteruskan bagi merapatkan jurang perlindungan insurans negara, khususnya bagi risiko banjir.
Mengulas aspek keselamatan jalan raya, beliau berkata, penggunaan teknologi telematik berpotensi membantu meningkatkan keselamatan pemanduan menerusi pemahaman lebih baik terhadap tingkah laku pemandu.
“Teknologi itu membolehkan pemandu menilai corak pemanduan masing-masing, selain membantu syarikat insurans memperoleh maklumat lebih tepat mengenai tahap risiko individu.
“Penggunaan telematik secara lebih meluas berpotensi menggalakkan pemanduan selamat dan membolehkan penetapan perlindungan insurans motor yang lebih bersesuaian dengan profil risiko setiap pemandu.
“Setiap kemalangan jalan raya bukan sahaja membawa kesan terhadap keselamatan dan nyawa manusia, malah turut mengakibatkan kerugian ekonomi,” katanya.
Sementara itu, PIAM menyambut baik langkah membantu pekerja ekonomi gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, menerusi bantuan bagi penyelenggaraan kenderaan serta insurans.
Kim Soon berkata, akses kepada perlindungan insurans penting bagi golongan berkenaan, terutama ketika tekanan kos sara hidup berisiko mendorong individu dan perniagaan mengurangkan atau menangguhkan perlindungan mereka.
Katanya, insurans berfungsi sebagai jaringan keselamatan kewangan yang dapat mengelakkan kerugian tidak dijangka daripada menjadi beban kewangan berpanjangan kepada isi rumah dan perniagaan.
“Tumpuan lebih besar juga perlu diberikan kepada aspek pencegahan, perlindungan dan kesiapsiagaan, termasuk pembangunan infrastruktur tahan iklim, akses kepada insurans mampu milik serta pengukuhan keupayaan digital dan kemahiran dalam menguruskan risiko baharu,” katanya.
Mengenai insentif cukai bagi teknologi hijau dan projek kelestarian, termasuk infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), beliau berkata, langkah itu menyokong peralihan jangka panjang negara ke arah mobiliti rendah karbon.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan penggunaan EV turut membawa keperluan baharu kepada industri insurans, termasuk dari segi penilaian risiko, kos pembaikan, keperluan infrastruktur serta pembangunan piawaian teknikal. – UTUSAN











