SANTIAGO: Padang pasir paling kering di dunia bertukar menjadi lautan bunga dalam satu fenomena menakjubkan berpunca daripada fenomena Super El Nino.
Gurun Atacama di Chile yang selalunya kelihatan gersang kini dihiasi dengan warna merah jambu, kuning dan putih daripada tumbuhan lebih 200 spesies tumbuhan dan bunga-bungaan.
Padang pasir Atacama lazimnya hanya menerima purata kadar curahan hujan sekitar 15 milimeter sepanjang tahun, sekali gus menjadikannya antara persekitaran paling ekstrem di muka bumi.
Namun pada tahun ini, paras rekod curahan hujan telah mencetuskan fenomena bersejarah yang dikenali sebagai Desierto Florido atau padang pasir berbunga.
Hamparan bunga yang menakjubkan itu kini melitupi kawasan seluas kira-kira 17,000 kilometer persegi, sekali gus menjadikannya fenomena gurun berbunga terbesar dan paling intensif sejak 1997.
Ketua Jabatan Kawasan Perlindungan di Perbadanan Perhutanan Kebangsaan (CONAF), Jorge Carabantes berkata, ia merupakan kejadian berbunga yang sangat luar biasa dan tidak biasa berlaku. Katanya, ia jauh berbeza daripada fenomena berbunga yang berlaku di tempat lain di seluruh dunia.
Atacama terletak di antara Lautan Pasifik dan banjaran gunung Andes, membentang sejauh 1,600 kilometer di sepanjang pesisir pantai utara Chile.
Kejadian gurun berbunga di Atacama bukan sesuatu yang asing. Ia tidak asing semasa hujan renyai yang berlaku dalam tempoh peralihan dari musim sejuk ke musim bunga. Namun, keindahan gurun berbunga itu pada tahun ini benar-benar luar biasa.
Fenomena cuaca Super El Nino dijangka hanya akan mencapai kemuncaknya pada November depan. Bagaimanapun, pengumpulan haba yang tinggi di kawasan Pasifik khatulistiwa sudah mula memberikan kesan yang mendalam terhadap cuaca global.
Antara Julai hingga Ogos lalu, Chile merekodkan paras rekod curahan hujan di beberapa wilayah dengan sesetengah paras tidak pernah dicatatkan sejak ukuran mula dibuat pada 1950-an.
“Sejak rekod curahan hujan mula dicatatkan, ini merupakan angka paling signifikan dari segi jumlah isi padu iaitu 160, 180 hingga 190 milimeter di beberapa lokasi,” kata Ketua Seksyen Pemuliharaan Biodiversiti di CONAF Atacama, César Pizarro.
Rangkaian ribut berkenaan telah mencetuskan banjir yang memusnahkan di banyak kawasan di Chile, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyebabkan lebih 100,000 penduduk terperangkap dalam bencana cuaca terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa dekad.
Bagaimanapun di bahagian utara, paras curahan hujan yang tinggi secara luar biasa itu telah membawa kepada fenomena Desierto Florido yang memecahkan rekod, sekali gus menarik kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara dan dunia. – AGENSI











