KOTA KINABALU: Gading bangkai gajah jantan yang ditemukan hanyut di Sungai Kinabatangan didapati hilang sebelum pemeriksaan dilakukan Jabatan Hidupan Liar (JHL).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bangkai gajah itu ditemukan berhampiran Angco Jaya Plantation dan Lot 4, Kinabatangan Wildlife Sanctuary.
“Penemuan itu susulan laporan awal mengenai bangkai gajah yang berada di sungai berhampiran Pontian Plantation berkenaan. Dalam pemeriksaan JHL mendapati kedua-dua gading haiwan itu hilang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan rapid response team (RRT) bersama renjer kehormat hidupan liar dari Sukau menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan bangkai haiwan itu selepas dihanyutkan arus ke hilir.
Katanya, bangkai itu ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera Angco Jaya Plantation membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dilakukan.
Jafry berkata, gajah jantan dengan ketinggian kira-kira enam kaki dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun.
“Keadaan bangkai menunjukkan gajah berkenaan dipercayai mati antara empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dijalankan. Hasil pemeriksaan turut menemukan beberapa kecederaan pada tubuhnya dan kedua-dua gading didapati hilang,” katanya.
Bagaimanapun, Jafry berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian gajah terbabit.
Katanya, bedah siasat dijalankan pada 1 Oktober lalu dengan sampel organ serta kandungan perut diambil untuk analisis makmal.
“Punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan dan pihaknya menunggu keputusan analisis makmal serta laporan lengkap bedah siasat. Saya sudah mengarahkan JHL Sabah menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk meneliti keadaan yang menyebabkan kehilangan gading,” katanya.
Beliau berkata, JHL turut mengambil keterangan individu yang membuat laporan awal mengenai penemuan bangkai gajah berkenaan.
“Kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan akan diambil jika siasatan mendapati wujud pembabitan manusia atau pelanggaran undang-undang hidupan liar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada JHL Sabah bagi membantu siasatan. – UTUSAN









