Meta akui kesilapan teknikal punca sebahagian akaun WhatsApp digantung

Meta akui kesilapan teknikal punca sebahagian akaun WhatsApp digantung

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meta mengakui kesilapan teknikal pada sistemnya menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga mengakibatkan penggantungan sebahagian akaun.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, kesilapan tersebut dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.

Menurut MCMC, pihaknya hari ini menerima maklum balas daripada Meta berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp yang telah dikemukakan kepada syarikat berkenaan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan.

“Kesilapan tersebut dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama dikemukakan MCMC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC memaklumkan, kesilapan teknikal tersebut telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.

Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

“Bagi kes lain, Meta menjelaskan penggantungan akaun turut melibatkan beberapa faktor termasuk nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp,” katanya.

Menurut kenyataan itu, laporan pengguna merupakan salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.

Berhubung akaun perniagaan, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Sehubungan itu, pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal.

Dalam perkembangan sama, MCMC meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan supaya pengguna terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan yang lebih jelas dan pantas.

Pengguna yang terjejas turut disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.

“MCMC akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.

“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN